Semasa

Forum Perdana Ehwal Islam Legasi Merdeka – Cabaran media sosial

IPOH: Cabaran dalam penggunaan media sosial merupakan antara isu yang dibincang dalam Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Legasi Merdeka’ bersempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata antara cabaran besar dalam menjaga kedamaian negara ialah penyalahgunaan platform media sosial.

Beliau berkata justeru, pengguna yang berhasrat memuat naik kenyataan di laman sosial perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (duduk kedua dari kiri). Kredit foto Abdullah Mohd Yusof | BERNAMA

“Apabila mereka menyampaikan sesuatu pandangan ataupun maklumat, mereka juga akan memastikan bahawa apa jua yang disampaikan itu merupakan sesuatu yang ada asasnya“, kata Dr Mohammad Redzuan pada sesi rakaman forum itu yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Sabtu.

Antara pengisian lain yang dibincang menerusi forum itu ialah erti kemerdekaan, kebebasan dalam Islam dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Panel jemputan lain ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Mohd Azmi Abdul Hamid (Presiden MAPIM – Cikgu Azmi) dan pendakwah Ustaz Harryanto Rizal Rokman bersama moderator Ustaz Hariri Daud.

Turut hadir menyaksikan forum itu ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2023.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang mewakili Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan Perak Mohd Azlan Helmi Helmi.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak.

BACA JUGA
Sikap prihatin masyarakat pemudah MAPIM gerakkan misi kemanusiaan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button