Semasa

Sikap prihatin masyarakat pemudah MAPIM gerakkan misi kemanusiaan

Malaysia Prihatin : Terima kasih Malaysia!

Hasbunallah Waniqmal Wakeel !!!

Begitulah ayat penuh makna, yang sentiasa terpacul di bibirnya setiap kali diberitakan akan musibah yang melanda, termasuklah ketika menerima kedahsyatan kejadian letupan di  Beirut, Lubnan baru-baru ini.

Pastinya nasib aktivis lapangan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, yang bermain-main dalam kotak fikiran beliau, sebaik dikhabarkan mereka terbabit dalam tragedi terburuk Lubnan itu.

Buat permulaan doa sahaja dapat dikirimkan. Untuk berada di lokasi kejadian adalah mustahil, kerana keterbatasan melintasi sempadan membuat tokoh aktivis kemanusiaan ini akur dengan keprihatinan kerajaan Malaysia melindungi rakyatnya.

Malaysia Prihatin! Itulah tema hari kemerdekaan negara yang ke-63.

Pemilihan Malaysia Prihatin didasari rasa tanggungjawab kerajaan membantu rakyat dari semua golongan yang terjejas akibat wabak Pandemik Covid-19. Ikatan yang kuat mencetus pelbagai inisiatif  kerajaaan,seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, PRIHATIN, dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, PENJANA.

UmmahToday mendapatkan pandangan Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM, (Dr.) Sani Al Araby, dalam konsep prihatin yang terserlah di sebalik keganasan Covid-19 menjangkiti di seluruh dunia.

Bagi (Dr.) Sani apabila terjadinya satu bencana, MAPIM sentiasa dalam kesiap-siagaan untuk membantu dalam kadar seberapa segera.  Perkara pertama yang dilakukan MAPIM ialah melancarkan Tabung untuk mengumpul dana orang ramai yang kemudiannya disalurkan mengikut misi atau kehendak sesuatu kejadian yang berlaku baik di arena tempatan dan juga di arena sejagat.

Kemudian MAPIM sebagai perunding akan melaksanakan gerak kerja susulan, bagi program jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang berdasarkan impak bencana yang dideritai mangsa.

Berdasarkan pengalaman beliau mencari dana bagi kerja-kerja kebajikan ummah, sememangnya sikap prihatin rakyat Malaysia amat tinggi. Selalu sahaja Tabung yang dilancarkan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau, secara peribadi terharu dan amat menyanjung tinggi dengan keprihatinan rakyat Malaysia khususnya, tidak kira, pangkat dan darjat, juga buat penyumbang MAPIM dari luar negara.

Sejak penubuhannya pada 29 Oktober 2012,  pelbagai tabung dana telah diwujudkan MAPIM termasuk dana ketika wabak Covid-19 mengganas di negara tercinta.

Sikap saling prihatin rakyat dan kerajaan Malaysia telah menjadi bualan yang meniti dari bibir ke bibir ketika beliau menjalankan  misi-misi antarabangsa selama ini.

Nama baik Malaysia, dan hubungan yang terjalin sesama negara memudahkan urusan MAPIM menyantuni ummah di luar negara.

Misalnya misi membantu pelarian Syria, hubungan erat Malaysia dengan negara-negara dunia mempermudah gerak kerja kemanusiaan, di sempadan, antaranya Kuala Lumpur – Ankara.

“ Syukur dalam menjalankan misi ini kami sentiasa berhubung dengan pihak di Turki, Lubnan yang sentiasa bersedia membantu memudahkan lagi misi ummah kami. Malah kami menandatangani memorandum persefahaman MOU dengan agensi, badan bukan kerajaan (NGO) bagi keperluan misi kemanusiaan dan kebajikan pelarian Syria’’.

Mempunyai pengalaman yang cukup  luas dalam misi-misi  kemanusiaan, di Gaza, Syria, Lubnan, (Dr.) Sani turut turun padang mendengar rintihan, merakam dari kaca mata beliau sendiri penderitaan mangsa bencana alam.

“Sudah lebih 20 kali saya memasuki Syria, MAPIM juga menubuhkan perkampungan Malaysia di Syria, sekolah di Idlib, pelarian Syria menghargai jasa MAPIM amnya, dan Malaysia khususnya dalam membantu menangani kesempitan hidup mereka.’’

Bukan setakat infrastruktur, Perkampungan Malaysia di Idlib, juga merangka pelan jangka panjang bagi pelarian Syria, seperti menyediakan peluang-peluang ekonomi oleh MAPIM untuk memastikan pelarian ini dapat berkendiri  memajukan diri mereka.

Itu kisah di luar negara, – di tanah air sendiri MAPIM tidak pernah meminggirkan saudara seagama dan rakyat berbilang kaum Malaysia yang memerlukan pertolongan.

Covid-19, sememangnya satu ujian getir menimpa setiap individu bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia malah golongan aktivis turut terkesan.

Bukan calang-calang Covid-19 mencatitkan impaknya, sehinggakan yang tidak terjangkau dek akal fikiran manusia pada abad ke-21. Waima, keluar rumah pun tidak dibenarkan. 

Kesan sosial, politik malah ekonominya mengalahkan krisis ekonomi yang pernah berlaku. Syarikat kapal terbang pun gulung tikar, juruterbang menjadi penghantar makanan, apatah lagi kesan berganda kepada sektor ekonomi yang lain.

Namun satu perkara yang Covid-19 tidak boleh menoktahkan, nilai kemanusiaan, keprihatinan dalam sanubari insan, sebaliknya lebih ditonjolkan.

Gerakan Insaniah tanpa sempadan, tanpa jurang agama, bangsa, fahaman dijelmakan dengan sumbangan wang ringgit, keringat, buah fikiran, tulang empat kerat tetapi bersyarat – iaitu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, PKP,  yang ditetapkan.

Seterusnya Tabung Dana Krisis Covid-19 dilancarkan dan petugas barisan hadapan menjadi keutamaan.

 

MAPIM memulakan gerak kerja menyumbang pek makanan panas kepada barisan hadapan di seluruh negara.

“Kita bermula sejak dari Ramadan dan kemudian ke Syawal, terutama kepada petugas hadapan yang berkorban demi negara, ” kata (Dr.) Sani.

Prihatin rakyat Malaysia ini adalah satu gambaran jelas sifat yang dimiliki warga Malaysia yang perlu diteruskan, sumbangan dana, ada yang menjahit pakaian, PPE  buat barisan hadapan. Tidak kurang yang memenafaat kebijaksanaan mereka pelindung muka untuk hero-hero Malaysia. Sikap saling membantu itu kata beliau pasti tersemat di fikiran setiap anak watan.

Bagi MAPIM kata beliau, gerak lebih tersusun dirangka selepas itu dengan pelancaran Jelajah Peduli Ummah ke lapan buah negeri, pada 23 Mei lalu, meneruskan keprihatinan rakyat Malaysia.

Aktivis MAPIM digerakkan ke  Zon Utara iaitu ke Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang yang kemudiannya diperluaskan ke zon tengah di Kuala lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ketika aktivis menyempurnakan misi kepada golongan sasar, juga petugas barisan hadapan, beliau sentiasa berpesan supaya anak buahnya mematuhi SOP dalam setiap gerak kerja Ummah bantu Ummah MAPIM.

Kalangan fakir miskin, peniaga kecil, ibu tunggal, kumpulan B40 dan mualaf serta kumpulan pelarian menjadi tumpuan utama dalam misi Jelajah MAPIM ini.

“Program ini adalah kesinambungan kepada usaha sedia ada kita dalam menangani Covid-19 dengan penambahbaikan kepada usaha yang telah dilakukan awal PKP itu, ”

Dalam pada itu kewujudan Ummah Central Warehouse, UCW – banyak membantu dalam penyediaan 100,000 kotak makanan ke seluruh negara, sebagai pusat pengumpulan dalam  masa perhimpunan ramai tidak dibenarkan.

Walaupun misi dilakukan dalam pengawasan ketat PKP, kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, menjadikan misi ini satu kenyataan.

Ummah Double-Decker Mobile Clinic Program, diusahakan merangkumi klinik bergerak atas bas dua tingkat dengan prasarana empat bilik rawatan.

Fasiliti perubatan berserta khidmat sukarelawan dalam kalangan petugas kesihatan juga tersedia serta ambulans MAPIM.

“Inisiatif ini bertujuan menyediakan kemudahan kepada masyarakat luar bandar, khususnya golongan asnaf yang memerlukan rawatan.”

Tiada apa yang menggembirakan selain melihat bantuan sampai ke tangan penerima Tabung Dana Bantuan Krisis Wabak Covid-19 MAPIM.

(Dr.) Sani, mengimbau kegembiraan salah seorang penerima mualaf, Abdul Salam Abdullah, 61, yang menunggu 39 tahun untuk memeluk Islam.

“Syukur sangat, sebab dahlah kami dapat bantuan kerajaan, Bantuan Prihatin Nasional, ini lagi bantuan dari orang lain macam MAPIM juga’’.

Sehingga kini, bukan sahaja bantuan Covid-19, misi-misi bantuan MAPIM juga bakal diteruskan dari semasa ke semasa.

Termasuk  Ziarah Prihatin Finas, FINAS, menyantuni insan seni, bergerak bersama-sama dengan rakan strategiknya seperti MAPIM, GISBH dan CDERT OHSEM.

Secara peribadi, beliau mengucapkan terima kasih kepada penyumbang, tanpa sumbangan mereka, dana MAPIM membantu ummah tiada ertinya.

Prihatin juga menyemai erti mensyukuri dan menghargai.

Katanya, penghargaan orang luar kepada Malaysia, khususnya melalui aktivis MAPIM, sentiasa diterima  daripada mangsa-mangsa bencana.

Ketika lintas langsung MAPIM bersama aktivis di Beirut, Dr Ramzi, doktor pakar kaki palsu, dalam nada sebak, pertama-tamanya menzahirkan rasa syukur atas doa dan ingatan rakyat Malaysia kepada saudara-saudara mereka di Beirut yang masih kebingungan.

Kata Dr. Ramzi, pada masa Malaysia juga terhimpit Covid-19, simpati rakyat Malaysia tidak henti-henti berdoa dan menyumbang kepadaTabung Letupan Beirut.

Rasa itu terlalu mendalam buat pelarian Syria di Beirut khususnya yang kini hidup ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Nasib pelarian Syria terlalu dekat dengan beliau, selaku perlantikannya sebagai President Kehormat sebuah organisasi kemanusiaan Youth For Syria (Y4S) yang berfungsi membantu dan memperjuangkan isu-isu Syria.

Malah beliau juga telah dilantik menganggotai Board Of Trustee, Kesatuan NGO Kemanusiaan Syria (ITIHAD)yang menaungi 200 NGO kemanusiaan Syria.

Mengakhiri perkongsian sikap prihatin, kepada UmmahToday,  kata (Dr. ) Sani, apa pun keadaan misi membantu akan diteruskan.

Pernah diugut bunuh pada perang Gaza-Israel 2012,  detik cemas diculik pengganas serta terselamat daripada dua serangan roket di Syria, semangat juangnya dalam misi kemanusiaan tidak pernah terpadam.

Harapan beliau, dengan pengalamannya mengasaskan beberapa pelan-pelan strategik bertindak untuk projek-projek kemanusiaan, (Dr.) Sani ingin melihat lebih ramai lagi pelapis diwujudkan.

Di samping melengkapkan mereka dengan aspek-aspek pengurusan misi kemanusiaan yang boleh dipelajari daripada MAPIM.

Pelestarian sikap prihatin dalam kalangan golongan muda akan menyuburkan nilai kemanusiaan terhadap kebajikan dan pembangunan ummah.

Katanya – ambil peduli, daripada ummah kepada ummah

Selamat Menyambut Ulang tahun Kemerdekaan ke-63!

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button