Semasa

Facebook sekat akaun Whatsapp Taliban

SAN FRANCISCO : Facebook bertindak untuk menyekat akaun WhatsApp yang mempunyai rangkaian dengan Taliban selepas kumpulan itu menguasai semula Afghanistan dan menggunakan khidmat mesej aplikasi berkenaan dalam urusan pentadbiran.

“Mengikut undang-undang Amerika Syarikat (AS), Taliban termasuk dalam senarai kumpulan pengganas. Oleh itu kami menyekat mereka menggunakan perkhidmatan disediakan mengikut dasar Pertubuhan Berbahaya,” kata jurucakap Facebook.

“Ia bermaksud kami menutup akaun yang diurus atau mewakili Taliban dan menyekat sebarang bentuk pujian, sokongan dan dukungan kepada kumpulan itu,” kata syarikat itu lagi.

Beliau turut berkata langkah itu dibuat kerana syarikat terikat dengan undang-undang sekatan AS.

Taliban kini menguasai Afghanistan selepas Presiden Joe Biden meneruskan pelan pengunduran tentera AS dari negara itu mulai September ini.

Facebook menjelaskan, mereka mengupah kumpulan pakar Afghanistan dari keturunan Dari dan Pashto yang mahir dengan kandungan tempatan untuk mematuhi peraturan ditetapkan AS.

“Pasukan kami memantau situasi yang berlaku. Facebook tidak membuat keputusan yang sekadar berdasarkan status sesuatu kerajaan di mana-mana negara tetapi mengambil kira pandangan komuniti antarabangsa dalam membuat keputusan,” kata Facebook.

Sementara itu, jurucakap Taliban mengkritik tindakan Facebook dan menyifatkan keputusan itu sebagai menyekat kebebasan bersuara.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button