Covid19Semasa

Covid-19 : Selangor catat 116 kes baharu, 732 hari ini

580 kes sembuh

KUALA LUMPUR: Sebanyak 732 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan kes positif kini 22,957 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 7,827.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sabah masih mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 535 dan lebih banyak ujian makmal Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dijalankan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 30 kes hari ini adalah daripada Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Penjara Kepayan, Kluster Tembok dan Penjara reman.

“Selangor juga mencatat pertambahan kes, 116 (hari ini) dengan 49 kes adalah daripada kluster sedia ada manakala 11 kes kluster baharu,” kata beliau dalam sidang akhbar harian perekembangan hari ini.

Beliau menjelaskan kluster baharu adalah berkaitan dengan dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah.

Ada lapan kes import dilaporkan membabitkan enam warganegara dan dua bukan warganegara.

“Tiga kes di Kuala Lumpur membabitkan warga Singapura, masing-masing satu kes membabitkan warga Nepal, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis,” katanya.

Sementara itu, enam kematian dilaporkan hari ini iaitu lima di Sabah manakala satu di Labuan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal akibat wabak itu kini 199 kes.

“Kematian di Sabah membabitkan seorang wanita berusia 71 tahun yang mempunyai latar belakang barah payudara dan strok; lelaki (65 tahun) mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis, hepatitis B kronik dan penyakit autoimun darah; lelaki (65 tahun) mempunyai latar belakang strok; lelaki (55 tahun) bersejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis serta seorang pemuda 27 tahun yang tidak mempunyai latar belakang penyakit.

“Di Labuan pula, kematian membabitkan seorang lelaki berusia 46 tahun, yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi,” katanya.

580 kes sembuh dilaporkan hari ini. Jumlah keseluruhan sembuh kini 14,931.

Marilah kita doakan kesejahteraan kepada semua petugas kesihatan yang berjuang demi memastikan semua pesakit COVID-19 sembuh seperti sedia kala.

Terima kasih petugas kesihatan! – FB KKM

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button