Semasa

Buli, dimana salahnya ?

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya : “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” 

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Ungkapan “Sejuk perut ibu mengandung” adalah untuk anak soleh yang menjadi idaman setiap ibu bapa. Ia merupakan anugerah infiniti Ilahi untuk bekalan ke negeri abadi.
Namun video di media sosial membuat hati semua ibu berkecai melihat anak-anak yang masih mentah dibuli.
Ibu manakah sanggup melihat keganasan buli ke atas anak mereka sebegini?
Dan ibu manakah sanggup melihat anak mereka jadi pembuli?
Di mana salahnya, perlakuan agresif ini?
Peranan didikan ibu bapa dalam proses tumbesaran anak bermula dari tangan yang mengayun buaian yang dapat menggoncang dunia. Namun bagaimanakah proses pembesaran di luar kawalan ibu bapa apabila anak remaja ke asrama penuh?
Kes buli berpunca kerana rakan asrama menghalang menonton video lucah?
‘’Media mempunyai keupayaan untuk menghasilkan semula bentuk kuasa sosial dan ketidaksamaan, tetapi juga boleh menjadi kuasa yang membebaskan apabila orang ramai mentafsir media secara aktif dan menggunakannya untuk mencipta makna dan pemahaman mereka sendiri tentang fenomena.’’
 (Kellner 1995, 4-5).
Persoalannya, pada zaman era teknologi digital media, bagaimanakah kuasa ini dapat dibendung? Budaya hedonisme menjadi fenomena tular di media sosial antaranya seperti Tiktok.
Dengan itu, didikan agama adalah wajib sebagai  asas jati diri setiap individu. Bekalkan anak-anak dengan ilmu agama yang bermula dari rumah hingga sekolah mahupun ke madrasah.  Walau bagaimanapun dengan didikan agama yang kuat, ia bukanlah penyelesaian segalanya.
Dugaan anak-anak di madrasah juga ada cabarannya dan masih terdapat segelintir remaja yang kecundang terpengaruh dengan kerosakkan moral.
Ada sebuah kisah dari Maran, Pahang. Anak sulung beliau dari kecil diterapkan ilmu agama hingga ke madrasah dan telah berjaya menyambungkan pelajaran dalam bidang agama ke Universiti Al Azhar. Setelah kembali  ke tanah air anak tersebut terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti kerosakkan moral. Perkongsian sahabat itu, memberi iktibar dan teladan. Salah laku masalah remaja ini, tidak boleh dipersalahkan kepada ibu bapa semata-mata.
Seyogia graduan agama sepatutnya menjadi contoh masyarakat. Malangnya kerosakkan moral tetap berlaku juga walau kejadian agak terpencil.
Menurut pepatah Afrika “Perlu satu kampung untuk membesarkan anak”. Usaha dalam didikan anak-anak ia memerlukan rangkuman holistik.
Ia meliputi ibu bapa, guru, keluarga, masyarakat, sistem pendidikan, pengaruh media dan pelbagai dalam ruang cakup ekosistem pendidikan jiwa anak-anak. Penekanan bukan hanya kecerdikan IQ (Intelligent Quotient) akademik, terapan jiwa pendidikan juga menjadi tunjang membentuk insan. Pembentukkan EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) perlu dititik beratkan juga.
Anak muda harapan bangsa yang bakal menjadi tonggak pemimpin negara pada masa akan datang. Tanggungjawab membentuk harapan bangsa ini bermula dari setiap individu dan perlu lahir sifat pendidik. Melihat anak muda yang bermasalah, tegurlah dengan naluri kasih sayang antara insan. Jika mereka perlukan bantuan hulurlah semampunya juga iringan doa.
Impian ibu bapa  adalah anak berjaya, berjaya dalam agama, bangsa dan negara.
Tetapi ada masa ia d iluar kawalan dan dugaan yang ditempuhi hanya dapat disandarkan harapan pada Ilahi dengan doa tawakal pada-Nya.
Perbincangan dari Pakar Motivasi & Pensyarah UiTM, Madam Nurul Nisha Mohd Shah di FB Ummah Today memberikan satu penjelasan bahawa komunikasi beretika dapat membendung kes buli. Kemahiran komunikasi dapat bendung perkara sebegini daripada berlaku. Sebagai contoh, lemparan seseorang kepada orang lain yang menimbulkan ketidakpuashatian. Jadi, pengetahuan tentang komunikasi sangat penting supaya tidak timbul kes buli.
Pengetahuan tentang komunikasi perlu diterap sejak anak kecil bukan sekadar lengkapkan anak-anak dengan ilmu virtual sahaja malahan kecerdasan IQ dan kecerdasan emosi. Penerapan tiga aspek ini akan melahirkan generasi yang baik. InsyaAllah.
Oleh itu, apakah kita ingin melihat isu yang terjadi baru-baru ini berulang lagi pada tahun 2022? Sungguh sedih sekali jika demikian!
Wallahualam

Related Articles

Back to top button