DomestikSemasa

Bajet 2023 MAIWP meningkat, agih RM1.18 bilion

KUALA LUMPUR: Anggaran perbelanjaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun depan meningkat sebanyak 13.54 peratus kepada RM1.448 bilion yang turut merangkumi perbelanjaan pengagihan sebanyak RM1.18 bilion.

Ketika membentangkan Bajet MAIWP 2023, Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata perbelanjaan lain termasuk pengurusan yang dianggarkan berjumlah RM199.55 juta dan pengurusan berjumlah RM70.78 juta.

“Fokus utama perbelanjaan pengurusan memberi penekanan kepada aspek kecekapan, kompetensi dan peningkatan mutu perkhidmatan MAIWP selari dengan teknologi.”

“Perbelanjaan pembangunan merangkumi aktiviti fizikal pembangunan, pembelian aset, pembangunan hartanah dan pelaburan,” kata Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pada sidang media Bajet 2023 MAIWP di sini, hari ini.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan bagi 2023 berdasarkan peningkatan kutipan zakat dengan anggaran pendapatan zakat berjumlah RM1.286 bilion atau 15.7% berbanding tahun ini yang berjumlah RM1.11 bilion.

Selain itu, Mohd Daud berkata bagi menampung anggaran perbelanjaan tahun ini, MAIWP telah menyediakan Bajet Defisit melalui pencairan rizab simpanan dan wang tunai sebanyak RM162.12 juta.

Menurut beliau, Bantuan Zakat Khas MAIWP Insani telah diberikan kepada 73,895 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM50 juta berikutan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan kepada bekalan makanan dan bahan tenaga.

Antara inisiatif MAIWP yang bekerjasama dengan MAPIM Malaysia untuk menyantuni golongan pesakit sekitar Wilayah Persekutuan melalui program rawatan percuma bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM
Doktor sukarelawan sedang memberikan konsultasi kepada pesakit di dalam bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM

Mohd Daud berkata Bantuan Zakat Khas ini disalurkan secara berperingkat sehingga bulan depan merangkumi Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM1,000 seorang di mana baki bayaran RM750 kepada 30,000 penerima manakala seramai 36,750 penerima Bantuan Am Persekolahan akan menerima sebanyak RM200 seorang.

Seramai 6,600 penerima Bantuan Am Pelajaran IPT akan menerima RM500 seorang, 530 institusi akan menerima RM30,000 bagi setiap institusi untuk membiayai pelaksanaan aktiviti pelajar asnaf dan pembaikan infrastruktur Sekolah Rendah dan Menengah, KAFA dan Tahfiz.

Sebanyak RM950,000 juga telah disalurkan pada 15 hospital dalam Bantuan Khas Tabung Kebajikan Hospital untuk menampung kos rawatan asnaf, katanya.

Beliau juga berkata Bajet MAIWP 2023 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 Nov yang bertemakan ‘Pemerkasaan dan Pemberdayaan sosioekonomi Ummah’. – BERNAMA

BACA JUGA
Mobile Clinic MAIWP-MAPIM di Taman Danau Kota Setapak

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button