PendidikanSemasa

Ambil kesempatan jual pendidikan percuma buku teks digital, SHOPEE padam senarai

Sekat penjual, orang ramai lapor pada Shopee

KUALA LUMPUR: Shopee memadam semua senarai penjualan produk buku teks digital dalam platform e-dagangnya dan menyenaraihitam semua penjual yang terbabit kerana menjual bahan yang diperolehi percuma di portal perniagaan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan mengambil langkah segera sebaik mendapat makluman awam berkenaan ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan menjual bahan pendidikan yang diperoleh secara percuma dari Kementerian Pendidikan (KPM) itu.

“Mengenai penjualan buku teks digital cetak rompak yang disediakan oleh KPM secara percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, Shopee sudah memadam semua senarai berkaitan dan menyekat penjual terbabit dari platform kami sebaik kami menyedari isu ini.” – Shopee

“Pada masa ini, kami ingin menyarankan pengguna menghubungi Shopee jika mereka melihat senarai penjualan serupa di platform kami. Pengguna boleh menghubungi kami melalui pautan menu di sudut kanan bahagian atas di mana-mana senarai produk dan klik pada pilihan ‘Laporkan Produk ini’,” kata kenyataan itu.

Perkara itu juga dibangkitkan Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menerusi Twitter hari ini, mempersoalkan bagaimana penjualan bahan pendidikan itu dibenarkan biarpun ia boleh dimuat turun secara percuma.

Shopee juga meminta pengguna menghubungi help@support.shopee.com.my atau menghubungi talian 03-2777 9222 (Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 6, termasuk cuti umum) untuk melaporkan sebarang kebimbangan mengenai produk yang disenaraikan diplatformnya.

“Kami ingin mengingatkan semua pengguna bahawa buku teks digital KPM boleh dimuat turun secara percuma di laman web rasmi ini https://textbook.moe.gov.my/login,” katanya.

Syarikat itu katanya, memandang serius setiap pelanggaran undang-undang dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa jika wujud penjualan produk yang didapati tidak sah atau melanggar dasar ketat syarikat.

“Penjual didapati melanggar dasar ini akan disekat terus dari platform kami. Untuk memastikan semua penjual mengetahui peraturan dan dasar ini, kami mengeluarkan panduan jelas dan terperinci mengenai barang terlarang dan penjualan yang dilarang di Shopee melalui Pusat Bantuan dan Hub Pendidikan Penjual Shopee. Garis panduan ini sentiasa diteliti dan dikemas kini,” katanya. – Berita Harian

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button