Covid19Semasa

637,000 individu sudah mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Pendaftaran melalui MySejahtera

Sejak pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka secara rasmi melalui aplikasi MySejahtera pada Rabu (24 Feb) seramai 637,000 individu sudah mendaftar sebagai penerima menerusi medium itu, setakat  jam 9:00 malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Mahesh Appannan berkata, pada masa ini aplikasi berkenaan dilihat sebagai medium paling berkesan untuk menyebarkan maklumat mengenai Covid-19 termasuk program vaksinasi.

“Aplikasi MySejahtera sekarang mempunyai hampir 21 juta pengguna unik dan mereka semua aktif, setiap hari kita dapat hampir 18 hingga 20 juta check-in. Itu menunjukkan banyak interaksi dan penggunaan MySejahtera dalam kalangan rakyat.”

“Buat masa ini, kita memang tidak mewajibkan penggunaan MySejahtera tetapi menggalakkan rakyat Malaysia untuk menggunakannya. Mewajibkan sesuatu bukan selalunya strategi kami, ia datang dengan kesukarelaan,”

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Vaksin Covid-19: Selamat dan Berkesan?’ semalam.

Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim turut menjadi tetamu program itu.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program pendaftaran vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Majlis pelancaran diadakan selepas perdana menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada jam 2:43 petang, sekali gus menjadi individu pertama menerima vaksin itu di negara ini.

Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera antara lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my, manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam pada itu, Dr Mahesh turut memberi jaminan mengenai keselamatan data pengguna MySejahtera memandangkan aplikasi itu di bawah akta penting seperti Akta Perubatan 1971 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, selain turut menjalankan hubungan strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 48 peratus kontak rapat Covid-19 berjaya dikesan melalui aplikasi MySejahtera.

 

Related Articles

Back to top button