Covid19EkonomiSemasa

Soal Rakyat: Bagaimana Untuk Terus Hidup Jika PKP Dilanjutkan?

Kebelakangan ini ada di kalangan rakyat Malaysia mula membuat undian bagi memberi pandangan mereka samada setuju atau tidak jika PKP dilanjutkan lagi oleh pihak berkuasa. Majoriti memberi jawapan setuju dengan lanjutan.

Baru-baru ini satu undian yang dibuat oleh Astro Awani melalui platform media sosial telah menunjukkan hampir 80% undian yang berpendapat PKP adalah sesuatu yang wajar dilanjutkan jika situasi semasa masih tidak memberi jaminan keselamatan dari dijangkiti wabak COVID-19.

Ini bukan sahaja membuktikan kefahaman yang meluas berkenaan langkah pencegahan yang dilaksanakan, rakyat juga khuatir gelombang jangkitan yang baru akan berlaku jika dibuka peluang untuk berhimpun.

Rata-rata netizen menyatakan kebimbangan di laman sosial jika PKP dibatalkan.

Selesaikan terus PKP supaya kes jangkitan terbaharu sifar, sekiranya PKP tidak dilanjutkan, semua akan berbalik kepada rutin harian dan ia akan meningkatkan risiko jangkitan itu.

– Akaun Facebook Che Wan Abdul Hafiz

Walau bagaimanapun, ada juga yang berpendapat sebaliknya kerana bimbang tentang status ekonomi rakyat yang semakin merudum akibat kekangan yang disebabkan oleh PKP.

“Bahaya kalau kena lanjut lagi. Tak tahu berapa lama syarikat boleh tanggung,” kata Akmal Aziq Baharin dalam Twitternya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dalam satu kenyataannya memberikan peringatan bahawa tempoh PKP bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Ramai yang bertanya apakah akan diteruskan menjadi PKP fasa ketiga dan keempat atau sehingga bulan puasa (Ramadan). Saya tahu ramai rakyat mahu kembali kepada kehidupan biasa.Yang boleh memastikan tiada PKP fasa ketiga atau keempat adalah bergantung kepada tuan-tuan dan puan-puan, jika kita terus patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) dan arahan kerajaan.

– Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Tetapi ternyata ada sesetengah rakyat yang bersikap tidak serius dengan arahan PKP sehingga menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih tegas. Baru-baru ini PDRM memaklumkan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac hingga 5 April adalah sebanyak 6,048 individu.

Tangkapan dibuat berdasarkan kegagalan mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan tindakan menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Apa tips daripada pakar ekonomi?

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr. Mohd Yusof Saari berkongsi di dalam satu penulisannya di portal berita tempatan bahawa ada 8 langkah yang boleh dipratikkan bagi membantu kerajaan menguruskan ekonomi ketika sedang menghadapi krisis.

Pemain industri

1. Bantu salurkan maklumat tepat berkenaan dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran dan perniagaan mereka. Contohnya semasa tempoh PKP, pengeluaran bekalan makanan bukan sahaja perlu mencukupi malah tiada manipulasi harga berlaku di pasaran. Untuk memastikan perkara ini terjamin, syarikat-syarikat atau pertubuhan perniagaan perlu melaporkan data-data dan permasalahan yang tepat supaya tindakan segera boleh diambil.

2. Hindarkan mengambil kesempatan perniagaan ke atas kelemahan sistem perlaksanaan pakej rangsangan. Dana bantuan kerajaan adalah terhad. Jika syarikat-syarikat masih boleh bertahan dan mempunyai aliran tunai yang kukuh, maka berilah peluang kepada syarikat-syarikat lain yang lebih memerlukan. Contoh lain adalah pemilik-pemilik rumah sewa, kedai sewa dan tanah sewa perlulah menangguhkan bayaran sewaan (atau berikan kadar diskaun) seperti mana manfaat moratorium yang mereka perolehi.

3. Menyusun semula strategi perniagaan. Syarikat-syarikat perlu mengambil peluang untuk menilai dan menyusun semula strategi pemasaran mereka. Contohnya, pemasaran perniagaan makanan yang berasaskan ejen jualan dijangka akan terjejas di dalam tempoh PKP. Dalam situasi krisis ini, kaedah pemasaran “tradisional” iaitu pemasaran di pasararaya dan kedai mungkin lebih menjamin kelangsungan perniagaan.

4. Membantu reformasi perniagaan dan ekonomi. Ini adalah masa terbaik untuk melaksanakan reformasi perniagaan dan ekonomi. Contoh mudah seperti berikut. Salah satu permasalahan di sektor pertanian adalah peranan orang tengah yang didapati mengekploitasi pasaran. Harga yang dikenakan kepada pasaran lebih mahal berbanding dengan harga yang dibayar kepada petani atau pengusaha. Dengan teknologi digital yang sedia ada, petani atau pengusaha boleh mengubah rantaian bekalan ini dengan terus memasarkan barangan mereka kepada isi rumah (menjalankan penghantaran terus ke rumah melalui aplikasi digital).

5. Penilaian kepada sistem pekerjaan yang lebih bersifat fleksible. Di negara-negara maju, amalan sistem pekerjaan yang fleksible telah dilaksanakan. Contohnya, pekerja boleh bekerja beberapa jam sehari, beberapa hari seminggu dan amalan bekerja daripada rumah. Semasa krisis Covid-19 dan tempoh PKP adalah masa terbaik untuk sektor perniagaan menilai sejauh mana sistem pekerjaan fleksible ini boleh membantu mengurangkan kos dan dalam masa yang sama dapat mengekalkan keuntungan.

Isi rumah

1. Penilaian semula gelagat perbelanjaan bulanan isirumah. Dalam tempoh PKP ini, isirumah tertumpu kepada perbelanjaan berbentuk keperluan sahaja selain komitmen pembayaran hutang bulanan. Kemungkinan bebanan kewangan isirumah sebelum ini dipengaruhi sebahagian besarnya oleh perbelanjaan kepada bukan keperluan yang terarah kepada gaya hidup. Sepatutnya tempoh pasca PKP akan lebih mendidik isirumah lebih rasional di dalam berbelanja.

2. Mengoptimumkan kelebihan teknologi digital. Dalam tempoh PKP dan krisis Covid-19, isirumah boleh mengoptimumkan teknologi digital di dalam mempelbagai sumber pendapatan. Krisis ini memberi pengajaran bahawa kebergantungan kepada hanya satu jenis sumber pendapatan mungkin tidak kukuh. Membantu isirumah lain untuk mendapatkan barangan secara digital adalah antara aktiviti perniagaan yang boleh dilakukan.

3. Jangan lakukan pembelian panik. Lakukan perbelanjaan seperti kebiasaan dan kurang berbelanja kepada barang bukan bersifat keperluan. Pembelian panik boleh menyebabkan herotan pasaran yang akan memberi impak negatif kepada ekonomi. Bekalan barangan akan kekurangan yang menyebabkan harga cenderung untuk meningkat.

Adakah PKP Bakal Dilanjutkan?

Kementerian Kesihatan telah memberi bayangan bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia berkorban lebih lama dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Kementerian Kesihatan akan menyediakan data pada 10 April bagi membantu kerajaan membuat keputusan sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu dilanjutkan atau tidak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan akan dibuat berdasarkan sama ada jumlah kes baru Covid-19 setiap hari mencatatkan penurunan atau sebaliknya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button