Ziarah Finas Prihatin santuni seniman belakang tabir
MAPIM pasang sengkuap pintu tunai permintaan Auntie Supama
UPDATE : Program Ziarah Finas Prihatin terus menyantuni golongan penggiat seni kreatif yang memerlukan bantuan.
Kali ini, program dilakukan ke rumah Puan Supama@Loga Naidu A/P Perumal. Supama, merupakan seniman di belakang tabir, malah beliau juga wartawan, pelakon drama veteran dan juga melakukan alih suara bagi drama radio.
Program ini adalah susulan daripada ziarah kali pertama bagi menunaikan bantuan yang dipinta Supama.
Mengenangkan nasibnya, dalam nada sebak, Supama,71 tahun, seorang ibu tunggal yang kematian suaminya, 20 tahun lalu ini, hidup dalam serba-serbi kekurangan.
Rumahnya yang terletak di Flat Sri Johor Bandar Permaisuri ini perlu diperbaiki dari segi kemudahan dan sistem paip.
Ujar Supama, apabila waktu hujan, keadaan bertambah buruk kerana bahagian ruang tamu dan bilik tidur akan basah akibat tempias hujan.
Atas keprihatinan itu wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, Shukri Othman berkata program ziarah ini turut disertai oleh rakan-rakan strategik FINAS seperti MAPIM, GISBH dan CDERT OHSEM.
Kesemuanya sama-sama turun padang bagi menyantuni artis veteran yang tidak bernasib baik.
Kontraktor MAPIM yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemasangan awning atau sengkuap ini didatangkan bagi melakukan kerja-kerja pemasangan.
Mematuhi aspek-aspek keselamatan kerja-kerja pemasangan dilakukan penuh tekun kerana dilakukan di bahagian balkoni dan tingkap di bilik rumah Auntie Supama.
Supama ketika ditemui selepas selesai kerja-kerja pemasangan awning menzahirkan rasa syukur terhadap bantuan semua pihak rakan strategik Ziarah Finas Prihatin.
Sedikit sebanyak masalah rumah basah setiap kali hujan meredakan Auntie Supama yang tinggal berseorangan.
Malah, ucapan terima kasih beliau, kepada semua dan MAPIM atas sumbangan pek makanan, berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak, gula sardin dan sebagainya.