SUNGAI BESAR: Banjir bukan sahaja melanda Pantai Timur malah di Selangor pada ketika ini. Berdasarkan laman web Info Banjir JPS Selangor, daerah Sabak Bernam turut terjejas dengan data setakat jam 5:45 petang ini menunjukkan paras air Rimba KDR telah melebihi paras amaran.
Bertindak pantas, Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Tim Operasi Agihan Daerah Sabak Bernam telah ke Kampung Batu 38 Baroh, Sabak Bernam untuk membantu mangsa banjir yang terkesan.
“Hujan yang turun berterusan menyebabkan beberapa rumah ditenggelami air banjir. Sebanyak 29 keluarga terlibat dengan banjir pada kali ini”, menurut kenyataan LZS.
Menurut LZS lagi, tiada pusat pemindahan dibuka dan penduduk yang terlibat hanya berlindung di rumah saudara mara serta berlindung dibahagian rumah yang tidak terkena air banjir.
“Hari ini kami hadir bersama-sama Penolong Amil Kariah menyantuni mereka yang terlibat dan menyerahkan bantuan barangan makanan kepada semua mangsa“, tambah kenyataan itu.