KARACHI : Bermula dengan satu impian untuk menulis ayat suci Al-Quran walaupun hanya satu panel pada dinding Masjid Nabawi, akhirnya impian itu bertukar kenyataan apabila Shafiq Uz-Zaman Khan terpilih menjadi penulis kaligrafi bagi memulihkan semula khat di dalam masjid kedua paling suci untuk umat Islam.
Khan telah berkhidmat hampir 30 tahun menjadi pelukis semula kaligrafi ayat suci Al-Quran di Masjid Nabawi dan berhasrat pulang semula ke tanah air bagi membuka sebuah akademi penulisan khat, lapor Arab News.
Kisah perjalanan beliau menjadi penulis kaligrafi cukup mengagumkan apabila pada1990, beliau menyertai pertandingan bagi memilih penulis seni khat untuk memulihkan tulisan khat yang mencecah 133 tahun pada sebuah masjid lama dan mencipta corak baharu untuk menghiasi masjid tersebut.
Pada awalnya, pihak penganjur menolak penyertaan beliau kerana pada masa itu Khan hanyalah pelukis papan iklan dan bukan penulis khat profesional.
Walaubagaimanapun, beliau tidak berputus asa dan berusaha menyakinkan pihak penganjur akan kebolehannya.
Usaha dan semangatnya membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang pertandingan itu, lantas terpilih menjadi pelukis khat di sebuah masjid yang kini menjadi antara masjid terbesar di dunia.
“Kebiasaannya ramai orang mengatakan bahawa saya tidak akan dapat menyiapkan kerja selama tiga dekad, mereka tidak faham bahawa kerja ini memerlukan ketepatan,” kata Shafiq Uz-Zaman Khan.
Tambah beliau, satu meter kaligrafi memerlukannya sepanjang malam untuk disiapkan.
Tidak lama selepas itu hasil seni beliau disedari rakan sekuliah dan membawanya ke Riyad bagi memulih semula karya seni khat seorang pelukis kaligrafi hebat, Abdullah Zuhdi di Masjid Nabawi.
Abdullah Zuhdi merupakan seorang pelukis kaligrafi ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Majid, pemerintah Uthmaniyyah pada tahun 1857. Walau bagaimanapun, penulisan ayat Al-Quran tidak dapat diteruskan susulan ruang yang terhad pada kubah masjid tersebut.
Apabila Khan memulakan kerja pemulihan, beliau berkata tugas paling mencabar ialah bukan sehaja memastikan ayat-ayat suci itu dapat disiapkan tetapi memastikan keseragaman dalam susunan ayat pada setiap kubah.
Walaupun Khan tidak dikenali di Pakistan, namun beliau telah berjaya merangkul beberapa pengiktirafan sebagai pelukis kaligrafi terkenal serta mendapat anugerah Pride Of Performance di Pakistan pada 2014.
Oleh Nurshazlin Shahrom