Dunia

Donald Trump, mantan presiden pertama didakwa di Amerika Syarikat

Dengan 2 pertuduhan, termasuk rusuhan di Capitol

WASHINGTON: Buat pertama kalinya dalam sejarah pentadbiran White House bekas Presidennya berdepan dengan dakwaan selepas meninggalkan tampuk pimpinan.

Setakat hari ini, ctvnews.com berkata hujah-hujah bagi mendakwa mantan presiden, Donald Trump berhubung rusuhan di bangunan Capitol dijadual akan dimulakan pada 8 Februari depan.

Pemimpin Senat yang sebahagian besarnya dikuasai Demokrat, Chuck Schumer mengumumkan tarikh tersebut semalam (22 Jan).

Tindakan itu dilakukan setelah mencapai persetujuan dengan para anggota Republican, yang menggesa supaya pendakwaan itu ditangguhkan untuk memberi peluang kepada Trump dan pasukan peguamnya mempersiapkan diri terhadap tuduhan menghasut dan mencetuskan rusuhan oleh para penyokong tegar Encik Trump.

Financial Times melaporkan, tarikh 8 Februari yang ditetapkan itu akan memberikan lebih banyak masa kepada Senat untuk mengesahkan barisan calon Kabinet yang disarankan oleh Presiden Joe Biden dan menimbangkan saranannya untuk memperuntukkan pakej bantuan COVID-19 bernilai AS$1.9 trilion (S$2.52 trilion) – iaitu keutamaan nombor satu dalam agenda baru Rumah Putih yang tertunggak disebabkan oleh prosiding tersebut.

“Kami mahu melupakan peristiwa hitam ini dalam sejarah negara kita,” kata¬† Schumer sambil merujuk kepada insiden rusuhan di bangunan Capitol oleh para penyokong Encik Trump, yang menyebabkan lima orang maut.

“Namun proses pemulihan dan perpaduan hanya akan dapat dimulakan apabila terdapat kebenaran dan kebertanggungjawaban. Dan itulah yang akan dicapai melalui perbicaraan ini.”

Speaker Dewan Nancy Pelosi akan menyerahkan dokumen-dokumen pendakwaan lewat hari Isnin (25 Jan), dengan sebilangan senator akan mengangkat sumpah sebagai juri pada Selasa (26 Jan), tetapi hujah pembukaan akan beralih ke bulan Februari.

Pendakwaan ke atas Encik Trump itu adalah yang pertama ke atas seorang mantan presiden, langkah yang menurut anggota Republican Senat sebagai membuang masa dan mungkin tidak mengikut perlembagaan.

Trump dituduh menghasut ribuan penyokongnya untuk menggempur bangunan Capitol di mana kongres sedang bersidang pada 6 Januari lalu, mengakibatkan lima orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Menggambarkan ketakutan di sebalik pergolakan, anggota bersenjata Pengawal Kebangsaan dikerahkan untuk mengawal keadaan.

Di bangunan Capitol itu sendiri, pengawal dengan penyamaran penuh dan lengkap bersenjata bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Trump selamat daripada pendakwaan kali pertama hampir setahun lalu ketika Senat yang dikuasai Republikan membebaskannya daripada dakwaan menyalahgunakan pejabatnya untuk memfitnah keluarga Biden sebelum pilihan raya.

Kali ini, kejatuhannya disebabkan inti pati ucapan di National Mall itu yang memberitahu bahawa Biden mencuri pilihan raya presiden dan bahawa mereka perlu berarak di Kongres dan menunjukkan ‘kekuatan.’

Jika Trump disabit kesalahan, Senat boleh mengundi untuk melarang beliau daripada menyandang sebarang jawatan pemerintah buat selama-lamanya, sekali gus menutup peluang Trump untuk kembali ke arena politik.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button