DuniaKemanusiaanPalestinRohingya

Wanita Palestin Ini Menangis Kenangkan Detiknya Diselamatkan Keluarga Rohingya

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah peribahasa mengajar kita untuk sentiasa menanam sifat empati dalam diri apabila melihat orang lain yang mengalami kesusahan. Masakan kita boleh bercerita tentang apa yang dilalui mereka kalau kita sendiri tidak alami apa yang ditempuhinya. Apatah lagi menghukum mereka tanpa mengambil kira situasi kehidupan yang sulit dan penuh trauma.

Begitulah nasihat yang cuba disampaikan oleh seorang wanita berketurunan Palestin bernama Hanin Abou Salem yang merupakan seorang pelarian tanpa negara yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Perundangan Antarabangsa di United Kingdom.

Hanin menyertai konvensyen tentang hak asasi yang dianjurkan oleh Human Rights Laywers Association di United Kingdom

Hanin telah menulis sepucuk surat terbuka kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengenai pengalamannya bersama pelarian etnik Rohingya di Malaysia. Niatnya adalah supaya mesejnya dapat disampaikan kepada masyarakat apabila beliau membaca perbincangan netizen di sosial media yang begitu hangat memperkatakan golongan itu perlu dihantar pulang ke tempat asal kerana bilangannya yang terlalu ramai dan boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada negara. Tidak kurang juga netizen yang mengatakan kumpulan itu perlu disantuni atas dasar kemanusiaan kerana negara asal mereka iaitu Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara.

Kekecohan ini menyebabkan wujudnya sentimen xenofobia di kalangan rakyat Malaysia sehingga menimbulkan rasa tidak selamat kepada pelarian Rohingya walaupun masing-masing telah lama hidup berjiran selama ini. Malah pelarian dari negara lain yang kini tinggal di Malaysia juga turut terasa bahangnya apabila mereka didakwa mendatangkan beban kepada negara dan tidak diiktiraf sebagai pendatang asing yang sah.

Dalam surat Hanin beliau menceritakan secara ringkas latar belakang rakat Palestin yang turut ditimpa musibah dihalau dari kampung halaman sendiri.

Saya dilahirkan sebagai pelarian Palestin tanpa kewarganegaraan. Masyarakat ​​saya menjadi pelarian setelah kami diusir secara paksa dari Palestin oleh rejim Zionis yang ingin menubuhkan negara Yahudi eksklusif untuk orang Yahudi di tanah milik rakyat Palestin. Setelah pengusiran kami, Zionis mengisytiharkan penubuhan Negara Israel pada tahun 1948 dan menolak hak Pelarian Palestin untuk kembali ke kediaman dan tanah mereka. Sebelum kami diusir secara paksa, banyak kampung kami diserang oleh rejim Zionis. Rumah kami dibakar, lelaki, wanita dan anak-anak kami dibunuh dan dipancung. Kami yang selamat diusir secara paksa ke negara jiran. Walaupun mereka yang mengusir kami menyatakan bahawa “yang tua akan mati dan yang muda akan lupa” , kami bertekad untuk pulang ke tanah air dan membina semula kehidupan di tanah asal usul kami.

Hanin yang juga merupakan penulis artikel di Al-Jazeera menyamakan situasi rakyat Palestin dan etnik Rohingya kerana mereka bergelar pelarian atas sebab diusir dan diancam keselamatan oleh pihak yang zalim.

” Pelarian Rohingya, seperti pelarian Palestin, adalah pelarian yang dianiaya. Musuh-musuh kemanusiaan membakar rumah mereka, membunuh orang-orang mereka, memperkosa wanita mereka dan memaksa mereka untuk menjadi pelarian. Tetapi di sebalik semua yang mereka alami pelarian Rohingya, seperti pelarian Palestin, bertekad untuk kembali ke tanah mereka untuk membina semula kehidupan mereka.”

Kanak-kanak Rohingya dengan aktiviti kesedaran Masjid a-Aqsa

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Malaysia yang menyokong pelarian Rohingya agar mereka dapat hidup dalam keselamatan dan maruah sehingga mereka dapat pulang dengan selamat.”

“Saya juga mengecam perbuatan setiap orang yang menyerang dan membuat tuduhan palsu terhadap semua pelarian Rohingya di Malaysia. Segala tuduhan yang dibuat terhadap seluruh kumpulan adalah tidak wajar.”

Hanin berkongsi tentang pengalaman beliau ketika berada di Malaysia dan berpeluang mendekati komuniti Rohingya. Beliau menggambarkan sikap sebuah keluarga yang memberi layanan yang baik apabila beliau menghadapi masalah kesihatan ketika sedang menjalankan aktiviti di penempatan mereka.

Saya masih ingat seorang gadis kecil datang ke arah saya. Dia memegang tangan saya dan membawa saya ke salah satu rumah sementara Rohingya. Di pintu depan, seorang lelaki baik hati menyambut saya ke rumahnya dan memberitahu bahawa isterinya akan menjaga saya. Kemudian dia bergegas pergi. Wanita Rohingya yang membuka pintu itu tersenyum. Dan membawa saya ke tandas. Semasa saya cuba menanggalkan kasut, saya berasa pening. Saya tiba-tiba mendapati wanita itu menanggalkan stokin saya. Saya benar-benar malu dan cuba menghentikannya, tetapi senyumannya membuat saya menyedari bahawa dia mahu menolong saya. Semasa saya keluar, dia membawa saya ke tempat tidurnya. Dia menghidupkan kipas yang tidak diguna untuk diri sendiri walaupun panas terik. Kemudian dia meletakkan tangannya di kepala saya dan mula membaca sebahagian dari ayat Al-Quran selama lebih dari satu jam. Saya mula menangis kerana saya seorang pelarian Palestin telah mendapat perlindungan di rumah pelarian lain yang dianiaya. Saya menangis kerana di sebalik semua yang mereka lalui, mereka masih berpegang kepada nilai kemanusiaan mereka!

Hanin bersama kanak-kanak Rohingya yang membantunya ketika beliau rebah

Beliau juga mendapat tahu bahawa wanita yang menyantuninya itu sebenarnya pernah menuntut pengajian Syariah selama 7 tahun sebelum berlakunya kekejaman ke atas masyarakat mereka. Ini sekaligus menunjukkan ada di kalangan pelarian Rohingya adalah golongan terpelajar.

Hanin menyambung kisahnya lagi dengan rasa terharu apabila diberi makanan walaupun beliau tahu mereka lebih memerlukan.

“Ketika suaminya kembali, dia membawa beg beras kecil yang baru sahaja dia terima dari salah satu badan amal Malaysia. Dia tersenyum dan berkata mereka akan menyediakan masala untuk saya. Saya tidak dapat menghentikan air mata saya daripada mengalir.”

Mereka rela berkongsi sedikit makanan yang mereka ada walaupun dia berdiri di bawah terik matahari untuk mendapatkannya. Ketika saya meninggalkan rumah sederhana mereka, dia memberitahu saya bahawa setiap kali dia berdoa, dia berdoa untuk rakyat Palestin. Air mata saya mula mengalir lagi kerana lelaki yang baik hati ini mempunyai waktu untuk berdoa untuk kami tanpa mengira semua yang dia dan masyarakatnya telah dan terus alami.

Berikutan dengan kecaman yang dihadapi oleh etnik Rohingya di Malaysia, Hanin cuba menyampaikan mesej keamanan kepada orang awam terutamanya di Malaysia bahawa situasi trauma yang dihadapi oleh pelarian  hanya kerana cuba mencari kehidupan yang selamat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Hanin dalam satu temubual bersama PRESSTV

Berdasarkan pengalamannya sendiri, beliau cuba membuktikan bahawa golongan yang tertindas seperti etnik Rohingya sendiri masih ada nilai kemanusiaan yang baik walaupun kehidupan mereka dipenuhi dengan kekejaman sebelum ini.

Justeru beliau menyeru orang ramai agar membuka mata dan hentikan segala perbuatan mengecam dan membenci semua Rohingya atau mana-mana pelarian kerana mereka juga manusia yang tidak terkecuali dari kelemahan dan kekurangan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button