Waktu solat di Negeri Sembilan bertambah kepada tiga zon
SEREMBAN : Bermula hari ini bersamaan dengan 1 Muharam 1444H, zon waktu solat akan ditambah daripada dua zon kepada tiga zon di seluruh Negeri Sembilan.
Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, perkara tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
“Adalah dimaklumkan bahawa terdapat penambahan zon waktu solat melibatkan seluruh Negeri Sembilan daripada dua zon kepada tiga zon yang akan mula berkuat kuasa pada 30 Julai bersamaan 1 Muharam 1444H.
“Pecahan zon waktu solat adalah seperti berikut, Zon 1 melibatkan daerah Jempol dan Tampin, Jelebu, Kuala Pilah dan Rembau (Zon 2) manakala Seremban dan Port Dickson (Zon 3),” menurut kenyataan tersebut.
Selaras dengan perubahan tersebut, semua masjid dan surau di seluruh negeri ini hendaklah mengalunkan azan mengikut perubahan yang telah ditetapkan.