SEOUL: Dua kes pertama varian Delta Plus dikenal pasti di Korea Selatan ketika negara itu sedang berdepan gelombang keempat jangkitan Covid-19.
Menurut kenyataan Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), varian Delta Plus ini sealiran dengan varian Delta yang lama, mutasinya dikenali sebagai K417N.
Mutasi jenis ini dilihat semakin meruncing diikuti varian Beta yang kali pertama dikenal pasti di Afrika Selatan.
Beberapa negara seperti Britain, Portugal dan India, hanya melaporkan beberapa kes menunjukkan varian Delta Plus ini masih tidak banyak.
“Seorang lelaki berusia 40-an mencatatkan kes pertama di Korea Selatan dijangkiti Delta Plus biarpun tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan terkini.
“Hasil ujian pada kontak rapat lelaki itu menunjukkan bahawa ahli keluarga yang diuji positif, tetapi KDCA tidak mengesahkan pesakit dijangkiti Delta Plus.
“Kes kedua dijumpai pada pelancong luar negara,” ulas KDCA.
Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan kesemua vaksin utama berkesan menangani varian Delta, namun pada masa yang sama kebimbangan vaksin itu tidak berkesan untuk mutasi baru itu.
Beberapa saintis mengatakan varian Delta Plus mungkin lebih mudah merebak dan kajian sedang dijalankan di India serta serata dunia untuk menguji keberkesanan vaksin terhadap mutasi itu.
Setakat ini, Korea Selatan melaporkan 1,202 kes COVID-19 baru semalam, meningkatkan jumlah kumulatif menjadi 202,203 jangkitan dengan 2,104 kematian.
Hari ini, seramai 20 juta orang atau 39 peratus penduduknya sudah menerima satu dos vaksin sementara 14.1 peratus sudah divaksin sepenuhnya.
Korea Selatan menyasarkan imunisasi sekurang-kurangnya 36 juta orang pada menjelang September ini.
– AGENSI