Sibu : Kes covid 19 di Sarawak pernah mencatat antara angka yang tertinggi di Malaysia walaupun Sarawak adalah negeri yang sangat ketat pengamalan SOP nya.
Antara punca kes covid-19 di Sarawak adalah kemasukkan pendatang tanpa izin yang tidak melalui proses kuarantin, ujian calitan, apatah lagi menerima suntikan vaksin.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee meminta majikan tidak mengupah pendatang tanpa izin ini. Beliau menambah, pengambilan golongan pekerja tanpa saluran yang sah bukan sahaja membahayakan kesihatan rakyat setempat tetapi juga negara kerana ia mampu menyebarkan jangkitan itu.
Ini bukan sekadar teori kerana beliau mengesahkan varian Delta sudah dikesan di Sibu melibatkan seorang pendatang tanpa izin Indonesia, yang masuk tanpa saluran yang betul pada 5 Julai lepas.
“Kita perlu berhati-hati dengan pendatang tanpa izin. Saya bukan kata kita tidak boleh mengambil pekerja asing tetapi tolong gunakan saluran yang betul, minta mereka buat ujian calitan, kuarantin dan divaksin (jika majikan mahu mengambil mereka bekerja),” katanya dalam siaran langsung mengenai situasi COVID-19 melalui Facebook beliau semalam.
Warga Indonesia yang berumur 29 tahun didapati positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan RT-PCR pada 7 Julai. Keputusan ujian yang dikeluarkan oleh makmal di Universiti Malaysia Sarawak menunjukkan beliay dijangkiti varian Delta dan kini dirawat di Hospital Sibu.
Dr Anuar meminta rakyat Sibu terus berhati-hati dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penyakit merebak.
Berkenaan program vaksinasi di Sibu, menurutnya, sehingga hari ini sejumlah 201,074 orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama dan jumlah yang telah melengkapkan dua dos ialah 122,886 orang. – Bernama