Semasa

Pengalaman ‘menghantar’ jenazah pesakit Covid-19

Pemergian bapa mertua satu memori yang tidak mungkin dilupakan

BUKIT BERUNTUNG: Tanggal 27 Jun 2021, Abah bersama keluarganya disahkan positif Covid-19. Tidak diketahui bagaimana pandemik itu menjangkiti mereka, yang pasti bahaya telah sampai di hadapan pintu rumah.

Pada mulanya, keluarga Abah diminta menjalani kuarantin wajib di rumah. Namun selang beberapa minggu, Abah dan isterinya dimasukkan ke Hospital Selayang kerana keadaan kesihatan mula kelihatan semakin merosot. Keadaan mereka perlu pemantauan rapi. Ada ketikanya, doktor memaklumkan Abah dan isterinya terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana paras oksigennya rendah dan terpaksa disuntik dengan steroid. Alhamdulillah, selang beberapa hari, isterinya beransur pulih, namun tidak bagi Abah.

Abah mengalami komplikasi yang teruk. Abah seorang bekas pesara tentera laut, aku yakin semangatnya kuat untuk melawan. Namun, Allah SWT lebih menyayanginya. Abah dijemput menemui penciptanya pada hari ke-2 Aidil Adha 11 Zulhijjah 1442H jam 7:25 malam.

Pada pagi keesokkannya, waris dipanggil oleh petugas di Jabatan Perubatan Forensik untuk proses pengecaman jenazah. Waris tidak dibenarkan menyentuh atau mendekati jenazah, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tiada penetapan tempoh untuk waris menatap jenazah untuk kali terakhir, ianya bergantung kepada budi bicara petugas KKM. Tetapi waris diminta cepat dan mengikut jarak yang telah ditetapkan lebih kurang dua meter di antara jenazah.

Saya difahamkan, bagi waris yang sedang menjalani proses kuarantin wajib, proses pengecaman jenazah hanya boleh dilakukan menerusi panggilan video. Lazimnya, petugas KKM akan membuka penutup beg ‘cadaver’ atau ‘body bag’ untuk waris mula membuat pengecaman.

“Selalunya situasi inilah yang menyedihkan kerana kami boleh dengar suara tangisan sayu ahli keluarga.” kata seorang petugas di sana.

Selesai pengecaman, lebih kurang jam 11:30 pagi, jenazah Abah di bawa ke tanah perkuburan Islam Bukit Beruntung. Sebagai penghormatan terakhir, saya secara sukarela menawarkan diri untuk bersama 3 petugas lain untuk memasukkan jenazah Abah ke dalam liang lahad. Turut sama dikalangan anak kandungnya adalah adik ipar saya sendiri.

5 sahaja dibenarkan berada di sekitar kawasan pengebumian

Pengebumian perlu dilakukan secepat mungkin dengan pemantauan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Kami memakai kelengkapan alat pelindung diri (PPE) sebelum boleh mengusung jenazah keluar dari van untuk di bawa ke liang lahad.

Proses ‘menyimpan’ dan ‘menghantar’ jenazah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Kami dilarang daripada membuka mask sepanjang proses pengebumian dilakukan bagi memastikan tiada sebarang jangkitan, malah sarung tangan biru dipakaikan sebanyak 2 lapisan.

Perasan sebak & hiba tiba-tiba menyelubungi diri saya apabila menyambut Abah untuk diturunkan ke liang lahad. Saya bukanlah menantu yang baik, banyak kelemahan dan banyak sungguh kekurangan. Kadang-kadang Abah akan mesej meminta pertolongan saya dengan dokumen kerjanya dan ada ketikanya beliau kongsikan impian bisnesnya.

“Nanti Adli urus bisnes Abah di luar negara, Abah dah tak larat dah. Ini kalau jadi, Abah nak bagi kepada anak-anak..” jelas Abah dulu penuh bersemangat.

Saya cuma mampu senyum, impiannya besar tetapi saya tahu kudratnya tidak sekuat ketika muda.

Apabila masalah dalam rumahtangga saya menimpa, saya mengadu pada Abah. Agak terkejut dengan jawapan beliau yang tidak menyebelahi saya atau anaknya sendiri tetapi lebih memikirkan nasib cucu-cucunya.

“Pertahankanlah..demi anak-anak..” itulah pesanan terakhir Abah buat saya.

Selesai pengebumian, semua petugas perlu beredar segera

Selesai pengebumian, tiada aktiviti keagamaan dibenarkan untuk dilakukan. Ahli keluarga dikehendaki segera meninggalkan tanah perkuburan sebaik sahaja urusan pengebumian selesai. Kelima-lima kami yang bertugas disemburkan dengan sanitasi dan disinfeksi sebelum dibenarkan membuka pakaian kelengkapan PPE.

Pengalaman ini menimbulkan kesedaran yang amat mendalam buat kami sekeluarga bahawa pandemik Covid-19 bukanlah perkara yang dibuat-buat. Apa yang lebih penting dilakukan pada tahap ini adalah menjaga diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling daripada dijangkiti virus Covid-19. Lindungi diri, lindungi keluarga anda. Stay safe everyone…

Mohon sedekahkah bacaan Al-Fatihah buat arwah bapa mertua saya, Tuan Illias Bin Saad.

Al-Fatihah

Adli Effendy

Journalist & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button