SUBANG : Satu juta dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer sumbangan Amerika Syarikat selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di sini, pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini.
“Terima kasih rakan sejawat, Antony Blinken serta kerajaan Amerika Syarikat. Semoga hubungan ini terus menjadi kekuatan untuk kedua-dua negara melangkah bersama dalam mengharungi cabaran Covid-19,” katanya.
Ketibaan sumbangan vaksin itu turut disambut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bersama dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters.
Semalam, Hishammuddin berkata sumbangan vaksin ini dapat mempercepatkan proses PICK yang sedang berjalan dengan menyasarkan 300,000 suntikan mulai bulan ini.
Tambah beliau, Amerika Syarikat turut menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada Malaysia sejak penularan wabak COVID-19 di negara.
Sumbangan ini termasuk bekalan perubatan, pakaian pelindung diri (PPE) dan peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bernilai AS$250,000 (RM1.04 juta).
Dalam pada itu, Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, berkata Malaysia merupakan negara pertama yang mendapat sumbangan vakisn di bawah pemerintahan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Oleh : Shazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ