Covid19DuniaSemasa

Vaksin Pfizer berkesan 100 peratus terhadap remaja selepas 4 bulan

WASHINGTON : Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan BioNTech berkesan pada tahap 100 peratus terhadap kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun, empat bulan selepas mendapat suntikan kedua.

Menurut mereka, permohonan bagi mendapat kelulusan penuh di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia adalah berdasarkan data baharu yang melibatkan 2,228 peserta percubaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam satu kenyataan berkata sekurang-kurangnya enam bulan selepas menerima dos kedua, tiada sebarang kebimbangan tentang keselamatan yang serius diperhatikan pada individu tersebut.

“Memandangkan komuniti kesihatan global berusaha untuk meningkatkan bilangan orang yang divaksin di seluruh dunia, data tambahan ini memberikan keyakinan lanjut terhadap profil keselamatan dan keberkesanan vaksin kami dalam kalangan remaja,” katanya.

“Ini amat penting kerana kami melihat kadar COVID-19 meningkat dalam kumpulan umur ini di beberapa wilayah, manakala pengambilan vaksin perlahan. Kami berharap untuk berkongsi data ini dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dan pengawal selia lain.”

Syarikat itu merancang untuk mendapatkan kelulusan penuh tidak lama lagi selepas AS memberi kelulusan penggunaan kecemasan vaksin berkenaan untuk remaja pada Mei lalu.

Vaksin pada masa ini hanya diluluskan sepenuhnya kepada individu berumur 16 tahun ke atas.

Keberkesanan adalah tinggi secara konsisten merentasi jantina, kaum, tahap obesiti dan status komorbiditi.

Di antara 2,228 peserta, terdapat 30 kes Covid-19 bergejala yang disahkan tanpa bukti jangkitan sebelumnya, semuanya dalam kumpulan plasebo.

Ini sepadan dengan keberkesanan vaksin sebanyak 100 peratus.

Kebimbangan keselamatan utama dalam kumpulan umur ini ialah miokarditis berkaitan vaksin (keradangan jantung) dalam kalangan lelaki.

Namun, data menunjukkan kes sedemikian sangat jarang berlaku dan faedah vaksinasi terus melebihi risiko.

COVID-19 itu sendiri boleh menyebabkan miokarditis.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button