WASHINGTON : Dos rendah jenis Moderna selamat digunakan dan berkesan terhadap kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun.
Moderna masih belum mendapat kelulusan untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan remaja namun sedang mengkaji dos yang lebih rendah kepada kanak-kanak kecil.
Mereka menguji dua suntikan untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun, dengan selang sebulan, yang masing-masing mengandungi separuh dos seperti yang diberikan kepada orang dewasa.
Keputusan awal menunjukkan kanak-kanak yang divaksinasi mempunyai antibodi melawan virus yang serupa dengan tahap yang dihasilkan oleh orang dewasa selepas menerima suntikan penuh.
Kajian itu melibatkan 4,753 kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun dan hasil juga mendapati sama seperti orang dewasa, kanak-kanak yang divaksin mempunyai kesan sampingan termasuk keletihan, sakit kepala, demam dan sakit di tempat suntikan.
Walau bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi bagi mengesan sebarang kesan sampingan yang sangat jarang berlaku, seperti keradangan jantung yang kadangkala berlaku selepas menerima vaksin Moderna atau Pfizer, kebanyakannya dalam kalangan remaja.
Dalam pada itu, Moderna tidak mengeluarkan butiran lanjut dan belum menyerahkan datanya kepada jurnal saintifik tetapi berkata ia merancang untuk berkongsi keputusan sementara dengan FDA dan pengawal selia global tidak lama lagi.
Kajian itu masih diteruskan, dan syarikat tidak dapat mengira keberkesanan vaksin untuk mencegah jangkitan pada kanak-kanak melainkan terdapat kes Covid-19 yang mencukupi untuk membandingkan kadar antara peserta yang divaksinasi dan yang tidak divaksinasi.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar