Oleh, Azrina Amri, wartawan pelatih
IPOH: Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, meminta bantuan orang ramai yang boleh mengubati penyakit yang dihidapinya.
Dalam satu hantaran di media sosialnya semalam, beliau memuat naik gambar sebelah tangannya yang ditumbuhi beberapa ketulan kecil berwarna hitam.
Tambahnya lagi, beliau telah melakukan rawatan selama 8 bulan melalui kaedah rawatan moden dan tradisional namun penyakitnya ini tidak boleh disembunyikan lagi.
“Ini keadaan muka saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul dikhalayak ramai.
“Bukan hanya di muka malah seluruh badan, ianya boleh terjadi luka dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah tanpa sebab,” katanya.
Menurutnya, beliau juga memerlukan bantuan sesiapa sahaja daripada perubatan alternatif dan bidang perubatan seperti doktor bagi merawat penyakitnya.
Walaupun dalam keadaan yang tidak sihat, beliau tetap menerima semua jemputan ceramah dan program.
“Kadang – kadang saya masuk dan keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-gesa disebabkan tidak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa simpati terhadap keadaan yang dialami Ustaz Kazim dan mendoakan semoga penyakit yang dialaminya segera sembuh.