UPSI sasar kedudukan 150 universiti terbaik Asia
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan untuk menjadi universiti berkedudukan 150 terbaik di Asia dalam bidang pendidikan tahun hadapan, kata Naib Canselor Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Beliau berkata UPSI yang kini berkedudukan 182 terbaik di Asia dan ke-43 terbaik di Asia Tenggara mampu melonjakkan kedudukannya menerusi pendekatan seperti menggabungkan elemen teknologi dengan keinsanan dalam usaha melahirkan siswazah berkualiti.
“Saya percaya gabungan (teknologi dan keinsanan) ini adalah penting kerana dalam kehidupan ini kita memerlukan keseimbangan kedua-duanya, bermakna teknologi dan nilai-nilai keinsanan inilah yang akan dibawa, diterapkan dalam kalangan mahasiswa.”
“Selain itu, kita juga akan mewujudkan ‘industri di dalam universiti’ kerana seperti yang kita tahu Proton berada di sebelah kampus kita, di Proton City.”
“Jadi kita akan bekerjasama dengan industri seperti Proton, DRB-HICOM dan Perodua untuk melaksanakan inisiatif ini dalam menghasilkan teknologi automotif masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Santapan Seluhur Budi Sekalung Kasih sempena Kemuncak Sambutan 100 Tahun UPSI di Dewan Tuanku Canselor UPSI malam tadi.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis itu.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Dr. Md Amin berkata UPSI telah melahirkan pendidik, nasionalis dan cendekiawan sejak institusi yang bersejarah itu ditubuhkan pada 1922.
“UPSI bukan hanya melahirkan guru, tetapi nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di segenap nusantara.”
“Inilah sumbangan UPSI yang paling hebat dan kita akan teruskan usaha melahirkan lebih ramai golongan pendidik yang cakna terhadap masyarakat dan membantu pembangunan negara,” tambahnya.
UPSI ditubuhkan pada 1922 dengan dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) dan dinamakan sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada 1957 dan kemudian Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) (1987), sebelum dinaik taraf kepada universiti pada 1997. – BERNAMA
BACA JUGA
(Dr) Ahmad Sani Araby terima anugerah Selempang Khalifah Ulung