KemanusiaanPendidikanSemasa

Ulusan Buku – Jangan Tunda Taubatmu

Selagi sihat, selagi sempat

Tajuk : Jangan Tunda Taubatmu.
Terbitan : PTS
Penulis : Ilham Wahyudi

Pada mulanya saya fikirkan ia buku daripada penulis Malaysia. Saya juga fikirkan ia boleh dibaca dengan kadar waktu yang singkat. Tebalnya hanya 160 mukasurat.

Ternyata saya salah. Ilham Wahyudi adalah penulis daripada Indonesia, dan buku ini adalah pemurnian daripada bahasa Indonesia ke bahasa Melayu Malaysia.

Saya juga ternyata salah ketika memikirkan buku ini akan cepat habis dibaca. Gaya penulisannya yang menggunakan ayat panjang, bab yang panjang dan topik yang serius memerlukan lebih perhatian dan fokus. Atas faktor umur dan kesibukan kerja, kemewahan masa untuk fokus sudah berkurang. Pembacaan jadi lambat.

Lalu bagaimana dengan buku ini?

Ia ada lima bab, dan setiap bab dipecahkan kepada beberapa bahagian, iaitu :

Bab 1 : Taubat Kunci Ketenteraman Dunia Dan Akhirat

  • Menyelami Hakikat Taubat
  • Setiap Manusia Berhak Bertaubat
  • Bertaubat Setiap Saat

Bab 2 : Meraih Kebahagiaan Sejati Melalui Taubat Setulus Hati

  • Menggapai Cinta Allah s.w.t.
  • Menghapus Dosa-Dosa
  • Memperbaharui Iman
  • Menjernihkan Hati
  • Mengganti Keburukan Dengan Kebaikan
  • Menjadi Ahli Syurga

Bab 3 : Petua Untuk Bertaubat

  • Berhentilah Meremehkan Dosa
  • Hargailah Setiap Kesempatan
  • Perbaikilah Pergaulan Seharian
  • Jangan Salah Mengandalkan Ampunan Allah s.w.t.
  • Janganlah Berputus Asa Dari Rahmat Allah s.w.t.

Bab 4 : Hidup Nikmat Dengan Taubat

  • Menjaga Kebersihan Hati
  • Menutupi Aib
  • Keluar dari Jerat Maksiat

Bab 5 : Menyempurnakan Taubat Ala Nabi Muhammad s.a.w.

  • Solat Yang Menyempurnakan Taubat
  • Meniru Doa Taubat Para Nabi

Ini adalah buku agama dan ia penuh dengan petikan ayat Quran, hadis, dan petikan daripada kitab-kitab ulama terdahulu. Jadi ia menerangkan mengapa ayat-ayat di dalam buku ini tidak ringkas.

Selayaknya buku agama yang membicarakan tentang taubat, buku ini menekankan betapa peluang untuk bertaubat itu masih terbuka luas selagi mana kita bernyawa. Ia juga menekankan bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Selain itu, buku ini juga menekankan walaupun pintu taubat masih terbuka luas semasa masih hidup dan Allah Maha Pengampun, tetapi jangan sesekali meremehkan dosa. Tidak kira walau dosa besar ataupun kecil.

Ia jelas pada bab awal buku, dengan mengambil petikan daripada kitab tulisan Imam Al Ghazali yang membahagikan taubat kepada tiga jenis, iaitu :

  1. Taubat orang awam. Taubat yang dilakukan kerana dosa-dosa yang nyata seperti mabuk, mencuri, membunuh, dan berzina.
  2. Taubat khusus. Taubat yang dilakukan kerana dosa-dosa batin seperti dengki, takbur, bongkak, dan ujub.
  3. Taubat yang lebih khusus. Taubat yang dilakukan kerana kealpaan dan kelalaian mengingati Allah, dan taubat jenis inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w yang maksum pun sentiasa bertaubat dan untuk Baginda, lalai daripada mengingati Allah adalah sesuatu yang perlu dimohon ampun dan taubat. Tidak sesekali meremehkannya.

Kita juga diberitahu bahawa taubat itu ‘manis’, dan banyak kebaikan yang akan kita peroleh. Hidup lebih tenang dan halangan hidup terasa lebih mudah dan lancar dihadapi. Sama ada mudah daripada segi usaha ataupun daripada segi keteguhan hati. Jadi sekiranya hidup terasa sempit, terasa perit mungkin kita yang belum bertaubat daripada dosa-dosa kita?

Buku ini juga memberitahu bahawa taubat itu tidak perlu perantara. Taubat sangat mudah dilakukan dan boleh dilakukan di mana sahaja. Tidak perlu ke Mekah hanya untuk bertaubat. Yang perlu adalah hati yang benar-benar mahu berubah dan insaf.

Ramai yang menunda taubat kerana memikirkan masih sempat untuk bertaubat, dan memilih masa dan tempat yang sesuai bagi bertaubat. Ingatlah, kita tidak tahu ajal kita dan taubat itu tidak memerlukan masa dan tempat yang sesuai. Semakin cepat taubat, itulah yang lebih sesuai.

Taubat jangan ditunda.

Saya akhiri ulasan ini dengan doa taubat Nabi Adam a.s.

“Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Al-A’raf, ayat 23)

Related Articles

Back to top button