DuniaSemasa

Ulama Indonesia haramkan mata wang kripto

JAKARTA : Majlis Ulama Indonesia (MUI) secara rasmi memutuskan penggunaan mata wang kripto adalah haram dan diragui kesahihannya, lapor KOMPAS.

Menurut pemimpin MUI, Asrorun Niam Sholeh, keputusan itu dibuat dalam satu pendengaran pakar di Forum Ijtima Ulama se-Indonesia ketujuh susulan elemen mata wang tersebut tidak menentu (gharar) serta mempunyai unsur taruhan yang mendatangkan kemudaratan bertentangan dengan Peraturan Bank Indonesia.

“Jika mata wang kripto sebagai komoditi atau aset digital boleh mematuhi rukun Syariah dan menunjukkan manfaat yang jelas, maka ia boleh dijual beli.” katanya.

Di Indonesia penggunaan mata wang kripto semakin meningkat di pasaran, begitu juga di peringkat antarabangsa.

Aset kripto ialah satu bentuk wang digital yang wujud hanya di alam internet.

Berbeza dengan wang digital yang digunakan secara harian seperti kad dan pindahan mata wang negara atas talian, kripto ini tidak dikeluarkan oleh bank atau kerajaan.

Indonesia tidak membenarkan penggunaan aset kripto sebagai bentuk mata wang, kerana rupiah adalah satu-satunya mata wang sah di negara itu.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna dagangan mata wang kripto akan dihentikan di Indonesia, fatwa itu akan menghalang orang Islam daripada melabur dalam asetnya dan membuatkan institusi tempatan mempertimbangkan semula untuk menerbitkan aset kripto.

Sementara itu, keputusan MUI ini berlainan dengan majoriti negara Islam lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menyokong aset mata wang digital itu sejak 2019.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button