DuniaSemasa

Ukraine bakal kehabisan bekalan oksigen ketika perang – WHO

ZURICH : Ukraine kini kekurangan bekalan oksigen yang diperlukan pesakit kritikal dan hanya mampu bertahan kurang dari 24 jam, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi di bawah pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa laluan selamat diwujudkan terutamanya melalui Poland atau Hungary bagi import kecemasan ketika pertempuran sedang berlaku.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Pengarah WHO Wilayah Eropah, Hans Kluge, dalam satu kenyataan berkata bekalan oksigen di Ukraine kini hampir mencecah paras sangat berbahaya.

“Ribuan nyawa kini dalam bahaya berikutan kebanyakan hospital dijangka kehabisan rizab oksigen dalam tempoh 24 jam akan datang, malah ada yang sudah kehabisan,” menurutnya.

“Trak tidak dapat mengangkut bekalan oksigen dari kilang ke hospital di seluruh negara, termasuk Kyiv manakala operasi kilang juga terpaksa dihentikan akibat perang.

Kira-kira 1,700 pesakit pelbagai keadaan di hospital merawat kes Covid-19 serta penyakit lain berpunca daripada komplikasi kehamilan, bersalin, sepsis, kecederaan dan trauma memerlukan bantuan oksigen.

Perkhidmatan hospital kritikal juga terancam akibat kekurangan bekalan elektrik manakala ambulans yang mengangkut pesakit diancam bahaya terperangkap dalam pertempuran itu.

WHO berkata, pihaknya sedang mencari kaedah untuk menambah bekalan, mungkin dengan menggunakan oksigen cecair dan silinder dari rangkaian serantau.

Bagaimanapun, ia masih memerlukan laluan transit selamat selepas meninggalkan koridor logistik melalui Poland.

– AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button