Covid19Semasa

Ujian RTK-Antigen, RT-PCR berupaya kesan varian Omicron

SHAH ALAM : Ujian pengesanan Covid-19 melalui penggunaan RTK-Antigen dan RT-PCR berupaya untuk mengesan varian Omicron.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, perkara itu dimaklumkan pakar daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) namun kajian masih lagi dilakukan bagi mengetahui lebih mendalam berkenaan varian itu.

“Ujian RT-PCR sepatutnya tiada masalah, namun dari segi keberkesanan RTK-Antigen masih dalam kajian tetapi setakat ini ia masih dapat mengesan varian Omicron ini,” katanya.

Menurutnya, kajian lanjut mengenai varian itu bukan hanya mengenai ujian pengesanan tetapi juga soal keberkesanan vaksin.

“Kami akan dapatkan laporan daripada pengeluar vaksin yang sedang melaksana kajian dengan pantas sama ada vaksin mereka berkesan terhadap varian itu,” tambahnya lagi.

“Soal ketiga kami kena lihat adalah keganasan Omicron ini dan kami dapat laporan awal di Afrika Selatan yang juga negara yang vaksinasi mereka rendah tetapi Omicron ini hanya telah menyebabkan gejala yang sederhana. Ada beberapa berita baik, tetapi sekali lagi kami tidak tahu dan kami perlu tunggu dan lihat,” katanya.

Pada masa sama, Khairy berkata, terlalu awal untuk menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk dikenakan semula susulan kemunculan Omicron.

“Ada beberapa opsyen yang akan dipertimbangkan untuk dapat kita perketatkan lagi kawasan sempadan kita,” katanya.

Mengenai Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara Indonesia, Thailand dan Brunei, perbincangan masih lagi berlangsung dengan mengambil kira kewujudan varian baharu.

-BERNAMA

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button