KepenggunaanSemasa

Tunjuk jari berdakwat dapat makan percuma

Peniaga rai sumbangan pengundi

JOHOR BAHRU: Bagi memeriah dan meraikan hari pengundian pada Sabtu ini, seorang peniaga di sini mengambil inisiatif menawarkan nasi arab percuma kepada pelanggan untuk dibawa pulang dengan hanya menunjukkan jari berdakwat sebagai bukti telah menunaikan kewajipan sebagai pengundi.

Pemilik Restoran Al-Hanin, Zulrahim Yusof, 50, berkata inisiatif untuk memberi nasi arab mandy ayam yang dibungkus kepada 200 pelanggan pertama itu merupakan usaha kecilnya untuk menggalakkan orang ramai keluar mengundi sempena Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

“Sebagai rakyat yang tinggal dalam sebuah negara mengamalkan demokrasi, menjadi hak kita untuk mengundi dan memilih pemimpin yang akan mencorakkan masa depan negara.”

“Tapi saya lihat sekarang, orang ramai terutama generasi muda, ada yang tidak mementingkan peranan ini, jadi ini merupakan sebahagian cara yang saya harap serba sedikit dapat menjadi untuk keluar mengundi pada Sabtu ini,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Zulrahim yang merupakan pengundi di Parlimen Tebrau berkata restorannya turut menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus sepanjang hari Sabtu ini kepada pelanggan yang menikmati hidangan di restoran.

Turut menawarkan inisiatif serupa, pemilik platform vendor pencuci mulut Pondok Kueh, Liyana Abdul Rahman, 35, yang beroperasi di Taman Perling di sini.

Liyana berkata beliau bersama lebih 80 vendor yang merupakan pembuat kek dan pastri bekerjasama dalam menawarkan 250 pelbagai pencuci mulut seperti kek secara percuma sebagai tanda penghargaan kepada pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka.

“Pengikut dan pelanggan kami majoriti terdiri daripada golongan muda, jadi kami mahu mewujudkan keseronokan atau rasa teruja kepada mereka sempena hari mengundi, katanya sambil menambah pelanggan boleh menebus tawaran itu pada hari mereka beroperasi,” Ahad ini.

Liyana yang berpeluang menunaikan hak sebagai pengundi lebih empat kali termasuk pada Pilihan Raya Negeri Mac lepas berkata tawaran tersebut juga diharap dapat menyerikan lagi peristiwa bersejarah tersebut.

Tinjauan Bernama di media sosial mendapati ramai peniaga termasuk jenama terkenal antaranya Tealive Asia, Old Town White Coffee dan Marrybrown, turut menawarkan diskaun sempena hari pengundian Sabtu ini, dengan pelanggan hanya perlu menunjukkan bukti jari berdakwat tanda mereka telah mengundi. – BERNAMA

BACA JUGA
Pilih pemimpin untuk teladan bukan kepuasan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button