KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia, pada usia 92 tahun, awal pagi tadi.
Tokoh perundangan negara itu meninggal dunia pada jam 3.20 pagi tadi selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kelmarin.
Anak allahyarham, Ahmad Johari Salleh memaklumkan hal ini dalam satu hantara di media sosial.
“Dengan amat dukacita, ayahanda kami, Tun Mohamed Salleh Abas telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3:20 pagi Sabtu 16 Januari 2021. Semoga Allah mengampuninya dan meletakkan ruhnya di kalangan orang-orang yang beriman. Moga Allah kurniakannya jannatul firdausi. – Ahmad Johari Salleh / anak
Seorang lagi anak Allahyarham, Natlrah ketika dihubungi Bernama mengesahkan Mohamed Salleh, 92, meninggal dunia akibat pneumonia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu,” katanya.
Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, mengesahkan berita dukacita tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed sebelum ini dalam satu kenyataan, kelmarin mengesahkan Mohamed Salleh dijangkiti Covid-19 dan dirawat di ICU HSNZ.
“Bagaimanapun, pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun (Mohamed Salleh),” katanya.
Beliau pernah bertugas sebagai pendakwaraya, dilantik sebagai hakim pada 1984 dan menjadi presiden Mahkamah Persekutuan yang terakhir pada 1988.
Pada tahun sama, ketika era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, jawatan presiden mahkamah tertinggi negara itu ditukar dan digantikan namanya menjadi ketua hakim negara.
Allahyarham disingkirkan sebagai ketua hakim negara oleh tribunal yang dibentuk selepas peristiwa pengharaman Umno pada tahun 1988.
Sebagai pendakwa raya, beliau terkenal dalam pendakwaan terhadap Sultan Iskandar Ismail pada tahun 1973 ketika seri paduka baginda menjadi putera mahkota.
Pada 1995, sebagai calon Semangat 46, Allahyarham bertanding kerusi parlimen Lembah Pantai, tetapi tewas kepada Shahrizat Abdul Jalil.
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS pada 1999.
Al Fatihah.
اَللهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَاَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرْدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلاَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَاَبْدِلْهُ دَارًاخَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَاَهْلاً خَيْرًا مِنْ اَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَاَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَاَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ
“Yaa Allah, ampunilah, rahmatilah, bebaskanlah dan lepaskanlah dia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah dia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah jalan masuknya, cucilah dia dengan air yang jernih lagi sejuk, dan bersihkanlah dia dari segala kesalahan bagaikan baju putih yang bersih dari kotoran, dan gantilan rumahnya dengan rumah yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya, dan keluarga yang lebih baik, dari yang ditinggalkan, serta istri yang lebih baik dari yang ditinggalkannya pula. Masukkanlah dia ke dalam surga, dan lindungilah dari siksanya kubur serta fitnah nya, dan dari siksa api neraka.”
Amiin