Tukang urut hina laungan azan ditahan polis
Sebanyak empat laporan diterima pihak polis
Bukit Mertajam : Tindakan seorang wanita memuat naik kenyataan menghina laungan azan dan masjid dalam laman Facebook miliknya mengundang padah apabila dia ditahan polis baru-baru ini.
Suspek berusia 26 tahun yang bekerja sebagai tukang urut itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, selepas dia tampil menyerah diri pada jam 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata kenyataan yang dmuat naik suspek itu menimbulkan kemarahan umat Islam di negeri ini dan pihak polis telah menerima sebanyak empat laporan.
Katanya, laporan terbaru diterima oleh seorang pengurus syarikat swasta berusia 33 tahun.
“Pengadu yang berada di rumahnya di sebuah pangsapuri di Perai telah ternampak satu kenyataan menghina laungan azan pada jam 5.18 petang.
“Selain itu, terdapat juga kenyataan tanda pagar yang menghina masjid dimuat naik individu menggunakan nama Facebook ‘JULIA JJ II,” katanya dalam satu kenyataan.
Shafee berkata, pengurus berkenaan tampil membuat laporan polis malam tadi selepas tidak berpuas hati kerana kenyataan itu boleh menyebabkan berlakunya perpecahan kaum dan perlu diambil tindakan tegas.
“Tindakan suspek itu disifatkan tidak menghormati sensitiviti agama rakyat Malaysia dan dianggap sangat tidak wajar kerana akan mencetuskan perpecahan kaum dan juga menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan umat Islam di negara ini.” – Shafee Abd Samad / Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner
“Berdasarkan laporan polis yang dibuat, polis memanggil pemilik Facebook itu ke IPD Seberang Perai Tengah sebelum menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis telah merampas dua telefon bimbit milik suspek untuk tindakan lanjut.
Kes disiasai mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
– Metro
Oleh : Muhammad Nasrul Haqim – Pelatih Fakulti Filem, Teater dan Animasi. / AJ