DuniaSemasa

Tujuh anggota tentera maut, helikopter Romania terhempas

BUCHAREST: Kejadian helikopter terhempas melibatkan tujuh anggota tentera maut pada Rabu di timur Romania berhampiran Laut Hitam.

Mangsa terkorban dilaporkan ketika sedang mencari jet pejuang dan juruterbangnya yang hilang, kata pegawai.

Menurut Kementerian Pertahanan, kesemua tujuh penumpang terkorban apabila Helikopter IAR 330-Puma itu terhempas di kawasan Gura Dobrogei, 11 kilometer (km) dari lapangan terbang.

Ketika misi rondaan udara untuk mencari MiG 21 LanceR, jet pejuang itu terputus hubungan radio dengan menara kawalan dan hilang daripada radar.

“Operasi mencari dan menyelamat juruterbang pesawat MiG 21 LanceR masih diteruskan,” menurut Kementerian Pertahanan.

Juruterbang helikopter melaporkan cuaca buruk dan telah diarahkan untuk kembali ke pangkalan, manakala pihak berkuasa masih menyiasat punca nahas helikopter itu, menurut Kementerian itu.

“Adalah terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan punca. Sudah tentu, terdapat keadaan cuaca yang tidak baik, tetapi kami tidak boleh mengulas sekarang,” kata jurucakap Jeneral Constantin Spanu di televisyen tempatan.

“Kami mempunyai dua suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan. Fokus kami adalah pada operasi mencari dan menyelamat.”

Presiden Klaus Iohannis dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian itu sebagai “malam tragis untuk penerbangan Romania.” dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Pada Julai 2020, sebuah pesawat AN-2 terhempas ketika misi latihan payung terjun, sejurus selepas berlepas, melibatkan 12 orang terbunuh dan dua cedera.

Dalam kejadian lain, enam tentera Israel dan seorang warga Romania maut apabila helikopter mereka terhempas di tengah Romania.

Pada 2018, seorang juruterbang Tentera Udara Romania maut selepas MiG 21 LanceR miliknya terhempas ketika pertunjukan udara di tenggara negara itu.

Tentera Udara Romania masih bergantung pada MiG era Soviet untuk misi kepolisan udara, walaupun ia sedang memodenkan pesawatnya. – AFP

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button