Covid19DuniaSemasa

52 terkorban, 22 cedera akibat kebakaran wad Covid-19 di Iraq

NASIRIYAH : Sekurang-kurangnya 52 maut, manakala 22 lagi cedera dalam kebakaran wad pengasingan pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Iraq, semalam.

Sumber perubatan dan pihak berkuasa kesihatan berkata, kebakaran di Hospital AL-Hussein itu dipercayai berpunca daripada letupan tangki oksigen.

Jurucakap pihak berkuasa kesihatan tempatan, Haydar al-Zamili, berkata 52 mayat ditemui dan 22 mangsa lagi mengalami kecederaan, sekata awal pagi tadi, selepas api merebak di wad pengasingan Covid-19.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang diteruskan. Dikhuatiri masih ada mangsa terperangkap dalam bangunan itu,” katanya.

Wad terbabit dilapor boleh menempatkan hingga 70 katil pesakit.

Dalam pada itu, insiden itu turut menimbulkan kemarahan rakyat yang turut mengadakan tunjuk perasaan di luar hospital berkenaan.

Ia turut mencetuskan gesaan dalam media sosial supaya tindakan tegas diambil, selain menuntut pegawai atasan untuk meletakkan jawatan.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat di kawasan pentadbiran Gabenor Dhi Qar di mana Nasiriyah adalah ibu kotanya, serta mengarahkan doktor sedang bercuti supaya kembali bertugas untuk merawat mangsa yang cedera.

“Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi, mengadakan mesyuarat kecemasan dengan menteri dan ketua pasukan keselamatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu,” menurut pejabatnya melalui Twitter, hari ini.

Selain itu, katanya, teraju kesihatan di Dhi Qar dan ketua hospital terbabit sudah ditahan serta disoal siasat oleh polis.

Pasukan keselamatan menyemak kawasan sekitar Hospital Al-Hussein

Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

Related Articles

Back to top button