Trend jadikan kipas sebagai makmum jelas persenda agama – Idris Ahmad
GEORGETOWN : Trend menjadikan kipas sebagai makmum ketika menunaikan solat seperti video yang tular jelas menunjukkan betapa jahilnya golongan seperti mereka dalam agama Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan tersebut menunjukkan mereka sengaja menjadikan agama Islam sebagai bahan gurau senda dan tidak menghormatinya.
“Saya harap agar pihak berkuasa segera menyiasat dan bertindak selaras dengan hasil siasatan, isu ini perlu disiasat sama ada pelaku adalah seorang yang siuman, mengalami masalah mental atau sebaliknya,
“Pelaku perlu diadili di mahkamah syariah dan dihukum mengikut undang-undang sedia ada sekiranya didapati sengaja mempersendakan agama atau ibadah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, perbuatan itu juga adalah dosa besar kerana menghina agama dan mempersendakan Islam serta boleh merosakkan akidah seseorang.
Wan Salim berkata, jika pelaku berniat untuk mempersenda ibadat maka dia dikira murtad dan wajib bertaubat.
“Masyarakat perlu sedar bahawa perbuatan mempersendakan atau memperolok-olokkan ibadat adalah berdosa dan boleh merosakkan akidah keimanan seorang Muslim,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dilaporkan meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.
Ia susulan video tular baru-baru ini, khususnya di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan individu berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.