Dunia

Tragedi kapal karam ragut 10 nyawa, 11 lagi dilaporkan hilang

MONTREAL : Insiden sebuah kapal pukat tunda karam dalam laut yang bergelora di timur Kanada, telah menyebabkan sekurang-kurangnya 10 nelayan maut manakala 11 lagi dilaporkan hilang.

Operasi menyelamatkan mangsa yang terselamat dalam insiden berkenaan menjadi sukar ekoran keadaan cuaca yang buruk.

Menurut pegawai, ketika kejadian terdapat 24 kru berada di atas kapal tersebut yang karam kira-kira 250 batu nautika timur Newfoundland.

Terdahulu, Pusat Koordinasi Penyelamatan Bersama Kanada (JRCC) memaklumkan tujuh mayat telah ditemui, manakala tiga mangsa berjaya diselamatkan – dari sebuah bot kecemasan di Atlantik.

Menurutnya, kapal berkenaan membuat dua panggilan kecemasan pada jam 5.24 pagi di Madrid.

“Dengan dukacitanya JRCC Hfx mengesahkan tiga lagi mayat ditemui dalam insiden kapal nelayan yang karam berkenaan,” ciap operasi Halifax bawah pusat itu kemudiannya.

Kira-kira lima jam kemudian, sebuah lagi kapal nelayan Sepanyol yang berada di kawasan terbabit mengesan dua bot kecemasan dengan sebuah daripadanya membawa tiga mangsa terselamat dan beberapa mayat.

Anggota penyelamat kemudian menjumpai empat lagi mayat.

“Tiga mangsa terselamat berada dalam keadaan kejutan hipotermia berikutan suhu air laut yang sangat dahsyat, amat rendah,” kata wakil kerajaan pusat Sepanyol di wilayah Galicia, Maica Larriba, melalui siaran radio awam.

Beliau berkata, mangsa yang terselamat kemudian dibawa keluar menggunakan sebuah helikopter pengawal pantai Kanada, sementara anggota penyelamat turut menemui dua lagi bot kecemasan yang kosong.

Kementerian Pengangkutan Sepanyol mengenal pasti kru kapal berkenaan membabitkan 16 warga Sepanyol, Peru (lima) dan Ghana (tiga).

Pasukan penyelamat Kanada berharap mereka berupaya menjumpai lebih ramai mangsa yang terselamat dalam insiden itu walaupun berdepan keadaan cuaca buruk.

Menurut kementerian itu, kapal nelayan terbabit yang berpangkalan di sebuah pelabuhan di Galicia dikenali sebagai Villa de Pitanxo dengan ukuran 50 meter.

Setakat ini, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti.

– AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button