KUALA LUMPUR: Tokoh pendidikan negara, Tun Dr Arshad Ayub meninggal dunia pada jam 2.06 pagi di sebuah hospital.
Pemergian Allahyarham Arshad dimaklumkan oleh keluarganya dalam satu kenyataan pagi ini.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Ayahanda tercinta kami, Allahyarham Tun Arshad Ayub, telah kembali ke Rahmatullah pada jam 2.06 pagi tadi, 14 Jun 2022.
“Jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan di maklumkan kelak insya-Allah.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Diharapkan agar sama-sama dapat sedekah Al-Fatihah buat Allahyarham,” katanya.
Sejak selasa minggu lalu Allahyarham di masukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana masalah kesihatan.
Anaknya Azmi Arshad yang memaklumkan perkara itu di akaun Facebook beliau yang turut memberitahu situasi bapanya dalam keadaan 50:50 lebih kurang 4 hari lalu.
Tun Arshad, 93, yang merupakan anak kelahiran Muar, Johor adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak 1967 sehingga 1975 malah, beliau pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di Institusi Teknologi Mara yang sekarang ini dikenali sebagai UiTM.
Allahyarham juga pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian dan melibatkan diri dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan juga badan-badan berkanun.
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melahirkan perasaan dukacita menerima berita kematian tokoh pendidikan yang cukup dikenali dan banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan pembangunan ekonomi negara.
“Sumbangan Allahyarham dalam merintis penubuhan dan pembangunan Institut Teknologi Mara, sehingga melahirkan jutaan modal insan berkualiti tidak ada tolok banding sehingga Allahyarham antara individu yang berjaya mencapai dan merealisasikan sasaran pendidikan bagi Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Sesungguhnya pemergian Tun Arshad adalah satu kehilangan besar kepada sektor pendidikan dan ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.