Tokoh Al-Quran, Nik Azizan bin Dato Nik Jaafar meninggal dunia
Bangi : Tokoh Al-Quran dan guru tarannum, Ustaz Nik Azizan bin Dato Nik Jaafar meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Berita pemergian Allahyarham telah dikongsikan oleh keluarga beliau di Faebook.
Nik Azizan bin Dato Nik Jaafar atau lebih dikenali sebagai Nik Azizan Al Farisi di akaun media sosialnya adalah seorang qari yang tidak jemu menyebarkan ilmu bacaan Quran dalam kalangan masyarakat.
Nik Azizan berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Beliau adalah johan Tilawah Kebangsaan Sekolah-sekolah Malaysia pada tahun 1990 dan 1991 dan Johan Tilawah Kebangsaan Antara Maktab-maktab 2002.
Beliau memiliki B.A Hons Syariah (Fiqh Usul ) dari Universiti Yarmouk JORDAN dan Diploma Tarannum Wal Qiraat Maktab Perguruan Islam Bangi. Selepas itu beliau menjadi pensyarah sambilan bidang tarannum dan Hafazan Akademi Islam di Universiti Malaya.
Beliau mula dikenali apabila menjadi pengacara Rancangan Mari Bertarranum TV9, tahun 2009. Tidak berhenti di situ, beliau juga pernah membuat persembahan qasidah peringkat Antarabangsa di PWTC. Beliau juga pernah mewakili Festival Nasyid Kebangsaan JAKIM.
Bintangnya semakin menyinar apabila dilantik menjadi juri Akademi Al Quran 5, juri tetap Qari Junior 5 di TV3. Beliau kemudian muncul di radio IKIM dalam rancangan Tartitul Quran. Beliau juga pernah mengeluarkan buku dan CD bagi mengajar ilmu Quran.
Seiring peredaran zaman, beliau kemudian menggunakan media sosial bagi menyebarkan lagi ilmu Quran, dan beliau sangat dikenali di Bigo. Beliau menjadikan Bigo sebagai medium untuk dia berhubung dengan mereka yang mahu belajar ilmu Quran, sama ada tajwid mahupun taranum.
Bakat dan semangat Nik Azizan ini boleh dikatakan diwarisi daripada ayahnya, Dato Nik Jaafar yang pernah dilantik sebagai hakim tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 1983. Ini meletakkan nama Dato Nik Jaafar sebaris tokoh agama seperti Tan Sri Hassan Azhari dan Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Sumbangan beliau dalam mengajar dan mempopularkan ilmu bacaan Quran dalam kalangan masyarakat akan terus dikenang.
Innalillahi Wainnailaihi Rojiun. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah dan mengampuni segala dosa almarhum Nik Azizan. Semoga bagi keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan dan kesabaran menghadapi ujian ini.