BanjirCovid19DomestikSemasa

1,000 pelajar asnaf gembira terima bantuan persekolahan

Putrajaya : Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghulurkan sumbangan Infak Back To School Seisi Persekolahan 2022/2023 kepada 1,000 pelajar golongan asnaf B40 dari daerah Hulu Langat dan Gombak, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata selain berhadapan pandemik COVID-19, golongan B40 yang terjejas teruk akibat musibah banjir, telah menerima bantuan yang diselaraskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sinergi Ilmu bagi membantu mereka.

“Pejabat Pendidikan Daerah Gombak dan Hulu Langat memaklumkan bahawa jurang kemiskinan akibat banjir dan pandemik COVID-19 itu memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat.

“Mengikut rekod lebih 50 peratus daripada kalangan ibu bapa di kawasan terbabit tidak mampu untuk membayar yuran pendaftaran persekolahan anak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Idris Ahmad  di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam membantu ibu bapa dan pelajar yang berhadapan dengan sumber kewangan disebabkan kehilangan pakaian dan peralatan persekolahan yang musnah akibat banjir ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

Katanya, program itu mendapat kerjasama dan sumbangan dari Lembaga Tabung Haji (RM50,000); Yayasan Taqwa MAIWP (RM50,000); Lembaga Hasil Dalam Negeri (RM20,000); Petronas (RM20,000); Bank Simpanan Nasional (RM5,000) dan Celcom menyumbang telefon pintar terpakai berjumlah RM15,000 yang kesemuanya berjumlah RM160,000.

“Kita harap bantuan kelengkapan persekolahan ini akan memberikan semangat dan menceriakan kepada pelajar untuk menghadapi sesi persekolahan baharu pada minggu depan,” katanya.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today  

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button