Tok Guru Pak Teh Mad kembali ke rahmatullah
ALOR SETAR : Datuk Ahmad Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Pak Teh Mad telah kembali ke rahmatullah pada tengah malam tadi selepas bertarung nyawa di Hospital Kuala Nerang.
Berita dukacita itu disampaikan oleh cucunya, Mariam Abdul Ghani menerusi satu hantaran di Facebook yang Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.57 pagi tadi.
“Tok Ayah saya, Tuan Guru Haji Ahmad Pak Teh Mad menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.57 pagi di Hospital Kuala Nerang di sisi Dr. Bukhari yang merawat serta mengajar kalimah syahadah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pemergian Tok Guru Pak Teh Mad mengundang sebak orang ramai dan ruangan komen di media sosial dilimpahi dengan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Kita kehilangan lagi Ulama’ Besar Di Negeri Kedah, Al Marhum Tuan Guru Pak Teh Mad Kuala Nerang Adalah Salah Seorang Ulamak tua yang hebat Di Negeri Kedah Darul Aman”, katanya seorang pengguna Facebook.
Allahyarham sebelum ini telah dimasukkan ke hospital setelah beberapa hari kesihatan beliau merosot dan mengalami kekurangan oksigen.
Tok Guru Pak Teh Mad yang menutup usia pada umur 96 tahun merupakan pengasas Pondok Ahmadiah Kuala Nerang (Pondok Pak Teh Mad).
Oleh Hafeez Anuar