Semasa

Tiupan angin punca kebakaran marak di Greece

Berdepan gelombang panas terburuk dalam tempoh 30 tahun

GOUVES : Kebakaran belukar di Pulau Evia, Greece kian marak apabila tiupan angin kencang merebak ke seluruh kawasan perkampungan itu.

Kira-kira 2,000 penduduk pulau dipindahkan dengan menggunakan feri untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran yang mengakibatkan kemusnahan hutan pokok pine.

Beberapa kebakaran belukar lain dilaporkan sejak kebelakangan ini, bagaimanapun di kawasan pinggir utara Athens dilihat semakin reda.

Kini, Greece berdepan dengan gelombang panas yang paling teruk dalam tempoh 30 tahun, di mana suhu meningkat hingga 45 darjah selsius.

Timbalan Menteri Perlindungan Awam, Nikos Hardalias, berkata jika dibiarkan kebakaran akan menjadi lebih sukar untuk dipadam pada masa akan datang.

“Secara keseluruhan, sebanyak 17 jentera pemadam kebakaran merangkumi pesawat dan helikopter dikerah memadamkan kebakaran di Evia, yang terletak di timur laut ibu kota Athens.

“Kawasan sebelah barat daya iaitu wilayah Peloponnese turut mengalami kebakaran tetapi kini keadaan sudah terkawal dan stabil,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada negara yang menghulurkan bantuan ketika mereka dalam keadaan genting.

“Kami mengucapkan terima kasih kerana berdiri di Greece selama masa-masa sukar ini,” ucap beliau menerusi Twitter miliknya.

-BBC

Diterjemah oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button