Doa, sumbangan dari masyarakat Islam selatan Thailand buat mangsa banjir di Malaysia
HATYAI : Sejumlah 1 juta baht (RM124,751) wang sumbangan disalurkan oleh masyarakat Islam di selatan Thailand kepada Malaysia bagi meringankan beban mangsa banjir.
Pendakwah muda Asari Lateh melaksanakan inisiatif kempen kutipan derma dalam talian bersama beberapa penceramah bebas di selatan Thailand.
Menerusi siaran langsung yang disiarkan di Facebook di Babazu Channel, Asari bersama penceramah-penceramah bebas mengadakan ceramah dalam talian untuk mengutip derma bagi membantu banjir di Malaysia.
“Sejumlah 1 juta baht berjaya dikumpulkan selam dua hari iaitu Sabtu dan Ahad untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.
“Kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Islam di selatan Thailand yang menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar.
“Sumbangan ikhlas daripada masyarakat Islam selatan Thailand menunjukkan hubungn baik Malaysia dan Thailand yang saling membantu ketika negara dilanda musibah,” katanya.
Dalam pada itu, masyarakat Islan di Pattani turut mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan buat rakyat Malaysia susulan musibah benjir yang melanda.
-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA