DomestikSemasa

Tinggal di bawah pencawang elektrik dengan dua orang anak OKU, asnaf ini dibantu MAPIM Malaysia

Terus tabah menghadapi cabaran hidup

Johor Bahru : Setiap orang daripada kita mempunyai kisah kehidupan yang berbeza. Setiap kisah itu pula adalah ujian bukan sahaja kepada mereka yang mengalami, tetapi juga ujian kepada yang mendengar, dan kepada yang melihat.

Inilah ujian hidup yang dialami oleh Puan Norsiah Sidek seorang asnaf yang mempunyai dua orang anak kelainan upaya. Sebagai asnaf dia hanya mampu tinggal di pondok setinggan yang didirikan di bawah pencawang elektrik, tanah milik TNB.

Puan Noorul Syahadah binti Isam aktivis kemanusiaan juga seorang peguam yang selama ini bergerak sendirian

MAPIM Malaysia dengan kerjasama Puan Noorul Syahadah seorang aktivis kemanusiaan, wakil Masjid Al Jawahir dan wakil Majlis Agama Islam Johor, telah berkesempatan melawat Puan Norsiah Sidek. Ketibaan pasukan MAPIM Malaysia pada waktu malam yang cerah, disambut dengan penuh keceriaan oleh Puan Norsiah Sidek dan keluarganya.

Sebagai sebuah setinggan, tidak ada jalan raya berturap untuk ke sana. Hanya jalan berbatu yang berlopak-lopak. Perjalanan seperti sebuah pengembaraan yang mencabar. Kereta tersekat-sekat dan melantun-lantun.

Di rumah setinggan itu, bekalan elektrik dan air disambung daripada rumah yang jaraknya 300 meter dari situ. Semua itu ada kos yang harus dibayar dan ia tidak murah. Namun setidak-tidaknya mereka masih mampu hidup dengan penuh tamadun.

Puan Norsiah Sidek menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Johor, dan ia masih belum mencukupi. Beliau sendiri tidak bekerja dan terpaksa pula menjaga dua orang anaknya yang OKU. Sebelum ini beliau menjaja makanan tetapi terpaksa berhenti kerana pelaksanaan PKP. Jadi, Puan Noorul sering ke sana bagi menghantar bantuan makanan.

“Jaga-jaga semut api,” kata Puan Norsiah kepada pasukan MAPIM Malaysia. Itu antara dugaan tinggal di setinggan itu, semut api yang muncul selepas hujan. Jurukamera MAPIM Malaysia sendiri merasai betapa azabnya digigit oleh semut api tersebut.

Memasuki rumah Puan Norsiah, kelihatan keadaan rumah yang bersih dan tersusun. Ini memberikan gambaran bahawa Puan Norsiah dan keluarga adalah seorang yang mementingkan kebersihan. Kemiskinan bukan alasan untuk hidup dalam keadaan yang kotor.

Menurut Puan Norsiah, “Kita makan apa yang ada. Anak-anak ini pun kita jaga. Kita sayang semuanya. Hidup memang susah tetapi saya tetap akan jaga anak-anak saya.”

Itulah ketabahan Puan Norsiah dalam menjaga dua orang anak istimewanya. Kemiskinan tidak menjadi alasan. Dalam kunjungan itu juga, MAPIM Malaysia yang diketuai oleh Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol telah memberikan sumbangan berupa kotak makanan asas, tilam dan bantal baru kepada Puan Norsiah sekeluarga.

Menurut Mejar Zulhanis, “Sekarang sudah malam, tetapi MAPIM Malaysia dengan rakan kerjasama kami tetap bekerja. Ini membuktikan bahawa kerja kemanusiaan ini tidak mengira masa, dan juga menunjukkan komitmen MAPIM Malaysia dalam membantu mereka yang memerlukan. Kita tidak boleh tunggu sebab kita tidak tahu apa yang akan terjadi esoknya. Selagi sempat kita buat.”

Kapten Haji Faris Hussain, Bendahari MAPIM Malaysia turut menambah, “Kita semua ini bertemu dengan izin Allah. Kita ditemukan dengan keluarga Puan Norsiah ini juga atas izin Allah. Semua itu ada sebabnya. Antara sebab yang jelas adalah supaya kita yang ada sedikit kemampuan ini, membantu keluarga Puan Norsiah. Kerana ujian Puan Norsiah itu juga adalah ujian kepada kita. Untuk selesaikan masalahnya memang kita tidak mampu, yang mampu adalah ringankan bebannya. Itu juga atas izin Allah. Kita  mahu membantu lebih ramai lagi keluarga seperti Puan Norsiah, tetapi kita perlukan juga bantuan daripada rakyat Malaysia, supaya MAPIM Malaysia boleh memanjangkan bantuan itu kepada yang memerlukan.”

Puan Noorul Syahadah juga memaklumkan, beliau sedang menguruskan agar Puan Norsiah dan keluarga dapat berpindah ke sebuah rumah sewa yang lebih selesa.


MARI LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB KITA

#MisiUmmahBantuUmmah

MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara.

Sumbangan boleh dibuat melalui: www.BantuUmmah.com

ATAU menerusi Akaun Maybank TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

562263-540066

MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu

1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016

Related Articles

Back to top button