DuniaSemasa

Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa akhirnya letak jawatan

COLOMBO : Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa akhirnya secara rasmi meletak jawatan selepas melarikan diri ke Singapura setelah beliau menghadapi protes secara besar-besaran di dalam negaranya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Parlimen Sri Lanka dalam satu ciapan di Twitter yang memuat naik surat rasmi mengenai peletakan jawatan Rajapaksa yang berkata bahawa beliau akan menyelesaikan proses undang-undang dan mengumumkannya secara rasmi pada Jumaat.

Di ibu negara Colombo, penunjuk perasaan bersorak gembira menyambut berita pengunduran presiden itu dengan tarian.

Rajapaksa sebelum ini dilaporkan mahu meninggalkan negaranya sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan melalui pentadbiran baharu.

Dalam pada itu, jawatan presiden kini dipangku oleh Ranil Wickremesinghe iaitu Perdana Menteri negara tersebut.

Hujung minggu lalu, Rajapaksa melarikan diri dari ke luar negara sebelum puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kediamannya berikutan krisis ekonomi yang berpanjangan dan disifatkan semakin meruncing.

Rajapaksa didakwa salah guna kuasa  sehingga negara kehabisan pertukaran mata wang asing untuk membiayai import.

Kos makanan, bahan api dan bekalan asas lain telah melonjak di Sri Lanka yang diburukkan lagi dengan konflik yang tercetus antara Ukraine dan Rusia.

Sri Lanka gagal membayar hutang luar negeri sebanyak AS$51 bilion (RM226.41 bilion) April lalu dan sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan krisis.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button