Ayer Keroh: Tiga pesilat negara berjaya melakar kemenangan dalam Kejuaraan Silat Dunia 2022 baru-baru ini di Ayer Keroh, Melaka.
Walaupun pelbagai rintangan yang sukar dilalui oleh pesilat-pesilat negara dalam memberi kilauan emas kepada negara, namun usaha, semangat dan kecekalan berdepan lawan masing-masing akhirnya membuahkan hasil buat Nor Farah Mazlan, Muhammad Robial Sobri dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir.
Ketiga-tiga pesilat tersebut berjaya memberi aksi luar biasa sejak pusingan awal lagi yang bermula pada 26 Julai lalu.
Muhammad Robial berjaya meraih kemenangan selepas lawannya Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dari Singapura dibatalkan penyertaannya oleh jawatankuasa pertandingan.
Ini selepas pesilat dari Singapura itu menumbuk bahagian kiri pipi Muhammad Robial sehingga pesilat Malaysia itu tumbang dan memerlukan bantuan perubatan di dalam gelanggang. Ketika itu, pesilat Singapura sedang mendahului 18-16. Secara tak langsung juara Sukan Sea 2017 Muhammad Robial berjaya menjuarai Kelas I Putera.
Nor Farah yang bertanding dalam Kelas F Puteri berjaya menjadi juara selepas mengalahkan pesilat dari Singapura dengan melakar kemenangan tipis 25-23.
Dalam kejuaraan tersebut, perlawanan akhir juga menyaksikan seorang lagi pesilat negara Nor Izzatul Faliz melakar nama sebagai juara dunia Kelas Terbuka 2 Puteri. Pesilat wanita itu memperolehi kemenangan selepas pesilat dari Vietnam Lo Thi Tuoi menarik diri akibat kecederaan ketika mendahului 13-9.
Kini negara berjaya menghampiri sasaran 7 pingat menerusi Kategori Artistik dan Tanding. Pertandingan ini disertai lebih 500 peserta dari 40 negara. – BH
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today