JAKARTA: Setelah lima hari bantahan terhadap Undang-undang Cipta Kerja, Presiden Joko Widodo yang sebelum ini dikatakan berdiam diri akhirnya membuka mulut mengulas mengenai bantahan undang-undang itu petang tadi.
Presiden Joko Widodo meminta mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap Undang-undang Omnibus, omnibus law Undang-undang Cipta Kerja supaya dicabar di Mahkamah Perlembagaan.
“Jika masih ada tidak ada kepuasan pada UU Cipta Kerja ini silakan ajukan uji materi atau judicial review ke Mahmakah Konstitusi,”
Menurut beliau sistem ketatanegaraan Republik Indonesia membenarkan Rang undang-undang itu dibahas sekiranya mempunyai tidak persetujuan mengenai kandungannya.
Presiden Jokowi ketika mempertahankan Rang Undang-undang itu berkata, maklumat yang salah telah diberikan kepada orang ramai.
Penyebaran maklumat yang salah dilakukan sesetengah pihak mengakibatkan ramai yang membantah sehingga mencetuskan protes keganasan.
Pihak pembantah mendakwa undang-undang omnibus akan menghilangkan hak perlindungan kepada pekerja.
“Adanya kabar yang menyebutkan bahawa semua cuti, cuti sakit, cuti kawin, cuti khitan, cuti baptis, cuti kematian, cuti melahirkan, dihapuskan dan tidak ada ganti ruginya. Saya tegaskan juga ini tidak benar. Hak cuti tetap ada dan dijamin,”
Sambil menolak semua dakwaan terhadap penghapusan cuti pekerja, tambah Presiden Jokowi, negara itu memerlukan undang-undang tersebut.
Pelaksanaannya membolehkan negara meningkatkan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda serta penganggur yang terkesan dengan krisis ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Presiden Jokowi menjelaskan mengenai omnibus law itu dalam satu siarang langsung menerusi Youtube Sekretariat Presiden pada Jumaat (9/10).
Bantahan terhadap Undang-Undang Cipta Kerja menyaksikan ibu kota Indonesia terus bergolak pada hari ini dengan dianggarkan ribuan pekerja dan mahasiswa memenuhi jalan utama di sekitar Jakarta.
Sejak Isnin lalu, beberapa siri protes diadakan di seluruh negara sehingga ada penunjuk perasaan yang cedera ekoran pertempuran dengan pasukan keselamatan.
CNN Indonesia melaporkan, ratusan anggota keselamatan ditempatkan di sekitar Istana Presiden dan kawasan berhampiran.
Namun, Presiden Joko Widodo, difahamkan tidak berada di Istana Presiden kerana dalam rangka lawatan ke Palangkaraya, Kalimantan Tengah.
Anggota keselamatan dilihat bersedia dengan gas pemedih mata dan meriam air sekiranya tunjuk perasaan bertambah agresif selain pagar berduri diletakkan di kawasan tumpuan bagi mengelak kemasukan penunjuk perasaan.
Terdahulu hari ini, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, berkata beliau akan menemui Jokowi bagi menyampaikan tuntutan penunjuk perasaan supaya undang-undang itu dimansuhkan.
“Saya sudah menemui penunjuk perasaan dan mendengar bantahan mereka, yang akan akan saya bawa kepada Presiden,” katanya.
Selain beliau, Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji dan tiga lagi gabenor wilayah dikatakan mahu berjumpa Jokowi bagi menyatakan pendirian golongan pekerja menentang Undang-Undang Cipta Kerja.
Jokowi sebelum itu dikritik hebat sehinggalah petang tadi setelah membisu sejak siri protes diadakan di seluruh negara membantah pelaksanaan undang-undang tersebut.
Undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen Indonesia Isnin lalu itu dianggap penting untuk menarik pelabur asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu negara susulan krisis dicetuskan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, majoriti membantah undang-undang omnibus itu dilaksanakan kerana didakwa menafikan banyak faedah serta kepentingan untuk golongan pekerja.
Antara lain, undang-undang baharu itu membenarkan syarikat menggaji pekerja secara kontrak terbuka atau tanpa sebarang tempoh khusus tetapi memberikan perlindungan insurans bagi pekerja sektor awam.
Menurut pengkritik, ia menggalakkan pengambilan pekerja secara tidak rasmi dan melemahkan hak asasi mereka selain didakwa mengurangkan aspek perlindungan alam sekitar. – AGENSI