
Palestin : Tragedi mendebarkan pada 12 Disember tahun lepas di mana bunyi dentuman dahsyat kedengaran mengejutkan keluarga Salhab dari tidur lena sekitar pukul 1 pagi.
Mahmoud Salhab, 57, diserang oleh sekumpulan askar Israel selepas membuka pintu dan mereka bertindak menyerbu masuk ke dalam rumahnya, menjerit lalu menyerang ahli keluarganya.
Tentera Israel memaksa mereka masuk ke dalam sebuah bilik sementara mereka menggeledah seluruh rumah.
Mahmoud memberitahu Middle East Eye bahawa, “sesiapa sahaja yang cuba bercakap dengan mereka (tentera Israel) akan dipukul”.
‘Serangan malam itu, membuka mata rakyat Palestin bahawa walaupun ruang paling selamat untuk mereka (rakyat Palestin), ia tidak menghalang askar Israel untuk terus mengganas’ – Pertubuhan hak asasi manusia
Tentera Israel telah pun menggeledah rumah mereka beberapa kali sebelum ini di kampung Qalqas, selatan Hebron, dan menangkap anak lelaki mereka.
Menurut Mahmoud, insiden terbaru ini adalah yang paling kejam setakat ini.
Ahli keluarga Mahmoud dipukul oleh tentera Israel dengan senapang dan mereka juga turut menahan Anas Salhab, 25 selepas dipukul hingga pengsan.
Selain itu, tentera Israel juga menghalang ambulans Palestin untuk memberi rawatan kepada keluarga tersebut, tetapi tidak hampir 90 minit kemudian, selepas mereka (tentera Israel) beredar, akhirnya mereka sekeluarga yang mengalami kecederaan boleh mendapatkan rawatan perubatan.
“Saya, abang saya, bersama empat anak lelaki saya telah dibawa ke Hospital Kerajaan Hebron. Kami mengalami lebam yang teruk dan mengalami kesakitan di bahagian perut. Sekarang pun kami berasa sakit dan sukar untuk berdiri atau bergerak,” kata Mahmoud.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan dalam keluarga tersebut telah dibawa ke hospital selepas mengalami sawan yang disebabkan oleh histeria dan wanita serta kanak-kanak dalam keluarga itu turut mengalami trauma.
“Kami keliru selepas apa yang berlaku. Seolah-olah kami berada dalam mimpi ngeri buruk yang mana kami tidak dapat bangun,” Mahmoud memberitahu Middle East Eyes (MEE).
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today