CHERAS: Program Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama MAPIM Malaysia diteruskan lagi.
Kali ini program Mobile Clinic diadakan di kawasan letak kereta Surau Tarbiah, Cheras, di sini, hari ini.
Lokasi yang strategik dan terletak sebelah surau menjadikan sambutan daripada orang awam sangat mengalu-alukan, lebih lagi apabila mereka usai solat fardhu di situ.
Menurut Doktor Pakar Kecemasan dan Bencana yang juga merupakan Pengarah MAPIM MEDIK, Dr. Shahrul Nizam Zamzali, program Mobile Clinic MAIWP menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk tempatan, warga asing dan semua peringkat umur khususnya golongan asnaf.
“Sangat bagus bila program (Mobile Clinic) ini diadakan, lebih lagi ia berdekatan dengan penduduk. Jadi bagi kami mudah untuk nak buat rawatan, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya. Saya boleh kata, sangat bermanfaat dan rawatan diberikan sangat berpuas hati,” kata Haji Japar Latip, 67, pesakit.
Program ini sudah digerakkan dengan jayanya buat kali kelima dan berlangsung selama dua hari iaitu pada hari ini dan esok, bermula daripada pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Pesakit yang datang membuat pemeriksaan kesihatan kebanyakannya daripada golongan warga emas, lebih kurang 90 peratus.
Antara khidmat percuma yang disediakan ialah pemeriksaan tekanan darah, merawat luka, pembedahan ringan, dan pemeriksaan kandungan gula dalam darah.
Program ini akan diteruskan lagi di kawasan-kawasan yang memerlukan terutamanya kawasan dilanda bencana.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today