TH gesa pendeposit segera tukar kepada akaun dewasa sebelum 1 Mei
KUALA LUMPUR : Para pendeposit Tabung Haji (TH) diingatkan untuk bertukar status kepada akaun dewasa sebelum 1 Mei 2022 khususnya yang telah melebihi umur 18 tahun tetapi masih memegang akaun kanak-kanak di bawah jagaan.
Menurut Lembaga TH, hal ini disebabkan akaun di bawah jagaan hanya boleh ditadbir oleh penjaga bagi kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun sahaja.
Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd Wahab memberitahu, pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dan penjaga diberi peluang untuk melakukan proses penukaran status di cawangan-cawangan TH berdekatan menerusi pengumuman pelanjutan tempoh pada November lalu.
“TH akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun bermula Isnin, 2 Mei 2022.
“Dalam masa sama status link akaun antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TH menyaran kepada semua ibu bapa dan penjaga yang mahu menukar status akaun kanak-kanak ke akaun dewasa agak tidak timbul kesulitan di masa akan datang untuk datang bersama anak tersebut ke cawangan TH yang berdekatan.
TH mengambil langkah ini bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit berumur 18 tahun tersebut dikemaskini.
TH juga menyarankan semua pendepositnya memastikan akaun TH kekal berstatus aktif untuk terus menikmati manfaat menyimpan di institusi itu termasuk simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, pengecualian cukai pendapatan selain boleh menyertai pelbagai kempen anjuran TH.