InspirasiSemasa

Tertarik dengan keindahan dan akhlak Islam, Cikgu Param lafaz dua kalimah syahadah

SUNGAI PETANI : Seorang aktivis masyarakat, Parameswaran Kunaseigaran telah  memeluk agama Islam kerana tertarik dengan keindahan dan akhlak agama itu.

Dia melafazkan dua kalimah syahadah di Murtadha Dakwah Centre (MADAD) yang terletak di Sungai Petani, Kedah dan dibimbing oleh Pengarah Urusan MADAD, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof sambil disaksikan jemaah lain termasuk rakan-rakan yang datang dari jauh.

Menurut perkongsian melalui laman Facebook Taufiq Razif, Parameswaran atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Param sebelum ini terkenal kerana meskipun beliau berbangsa India, dia sering memakai baju Melayu dan berpuasa pada bulan Ramadhan.

Menurutnya Cikgu Param juga pernah menerima dugaan yang berat di kala Covid-19 sedang mengganas dalam negara,

“Semasa Covid-19 sedang mengganas suatu ketika dulu, dia kehilangan seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata!

“Ayahnya, ibunya dan satu satunya abangnya telah meninggalkannya dalam sekelip mata! Dan ketika itu dia tak dapat pun berjumpa dengan mereka di saat akhir hidup mereka sebab dia sendiri sedang bertarung dengan Covid-19 tahap 4!” menurutnya.

Rata-rata ramai yang memberikan kata-kata positif susulan perkara ini dan menganggap bahawa Allah S.W.T menggantikan keluarga baru kepada Cikgu Param iaitu semua umat Islam akan menjadi saudaranya.

Dalam pada itu, Cikgu Param memaklumkan menerusi Facebook bahawa nama barunya masih sedang dalam proses pemilihan dan mengalu-alukan sekiranya ada yang ingin memberi cadangan.

Kredit foto FB Cikgu Fadli Salleh

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button