Oleh : Noorielyana – Wartawan Pelatih Ummah Today
KUALA LUMPUR : Program bas double decker Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendapat sambutan yang sangat baik di tiga lokasi.
Jumlah penduduk yang mendapat rawatan secara percuma oleh dua orang doktor sepanjang program tersebut melebihi jangkaan iaitu seramai 90 orang di PPR Sri Alam, 75 orang di PPR Sri Selangor dan 180 orang di PPR Lock Yew sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 345 orang di ketiga-tiga tempat itu selama dua hari bermula semalam sehingga hari ini. Mereka yang mengunjungi datang dari pelbagai bangsa dan umur.
Menurut Hisham Bin Haji Ghazali, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Alam, program klinik bergerak anjuran pihak MAIWP-MAPIM ini adalah satu kesungguhan yang cukup baik bagi membantu masyarakat setempat. Dia turut menyatakan bahawa perkara ini adalah sangat baik jika diteruskan kerana dapat membantu dan memudahkan masyarakat di luar sana terutama golongan B40 bagi mendapatkan rawatan secara percuma.
“Saya sangat berterima kasih kepada MAIWP-MAPIM kerana disini kita tengok penduduk tidak perlu bayar, semuanya ‘free of charge’, jadi satu kesyukuran buat penduduk-penduduk di tempat-tempat yang MAIWP-MAPIM adakan program mobile clinic ini.”
Mereka yang hadir ke Program bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM akan mendapat perkhidmatan konsultasi bersama pegawai kesihatan yang bertauliah dan berpengalaman. Mereka juga dapat menjimatkan kos membeli ubat-ubatan kerana khidmat ubatan secara percuma disediakan kepada semua pesakit atas nasihat dan pemantauan dari pegawai kesihatan yang bertugas.
Program bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM akan terus diadakan di tempat-tempat lain pada setiap minggu bagi memberikan khidmat pemeriksaan serta ubat-ubatan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.