DuniaSemasa

Terhidu asap di lombong arang batu, 50 maut

GRAMOTEINO : Akibat terhidu asap di lombong arang batu, lebih 50 orang dilaporkan maut termasuk enam penyelamat di Siberia dalam operasi menyelamat yang berkahir dengan tragedi.

Menurut agensi berita Russia yang memetik maklumat pihak berkuasa tempatan, pelombong dan penyelamat di lombong Listvyazhnaya, wilayah Kemerovo, Russia merupakan antara yang 52 yang dilaporkan terkorban.

Pihak berkuasa wilayah melaporkan, operasi menyelamat kini dibatalkan atas faktor keselamatan manakala 40 mangsa lagi sedang menerima rawatan di hospital.

Berikutan itu, tiga individu membabitkan pengarah lombong berusia 47 tahun timbalan pertama berusia 59 tahun serta pengurus kanannya bagi membantu siasatan telah ditahan oleh Jawatankuasa Siasatan Russia.

Mereka disyaki melanggar aspek keselamatan sehingga menyebabkan kemalangan maut terbaru yang melanda industri perlombongan besar negara terbabit.

“Menurut maklumat awal, tiada mangsa yang dipercayai selamat dalam lombong berkenaan,” menurut agensi berita kebangsaan, TASS yang memetik kenyataan sumber dari perkhidmatan kecemasan tempatan.

Lombong Listvyazhnaya yang terletak berhampiran Belovo di wilayah Kemerovo.

dipenuhi dengan asap dalam kemalangan yang berlaku awal pagi semalam ketika 285 pekerja terperangkap di dalamnya.

Kebanyakan mereka dilaporkan berjaya dibawa keluar namun seramai 35 pelombong tidak dapat dikesan.

Sehingga kini punca kejadian masih disiasat walaupun beberapa media Russia melaporkan bahawa habuk dalam lubang pengudaraan terbakar, menyebabkan lombong itu dipenuhi asap.

Agensi berita RIA Novosti memetik laporan pihak pendakwa bahawa percikan api mungkin mencetuskan letupan metana.

Laporan turut menyebut enam mayat pelombong yang kehabisan oksigen turut ditemui.

Pihak gabenor mengisytiharkan tiga hari waktu berkabung di wilayah itu bermula hari ini.

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin, menyifatkan kemalangan itu sebagai satu tragedi besar, semasa perbincangan dengan pemimpin Serbia, Aleksandar Vucic, di Sochi.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button